SEOUL – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un diingatkan agar tidak memandang rendah kepada Amerika Syarikat.
Malah, Trump sekali lagi mengulangi bahawa Amerika Syarikat akan terus melindungi sekutu-sekutunya terhadap ancaman nuklear.
“Jangan pandang rendah kepada kami. Jangan uji kami,” kata Presiden Donald Trump yang turut mengutuk kehidupan ‘fantasi hitam’ Korea Utara.
Beliau memberi ucapan itu di Parlimen Seoul.
Trump berkata, senjata-senjata yang dimiliki oleh Korea Utara tidak menjadikan negara itu selamat.
Beliau juga menyeru agar semua negara untuk menyertai Amerika Syarikat menghentikan pelancaran senjata oleh Pyongyang.
Trump kini di China selepas melawat Jepun dan Korea Selatan. Beliau akan bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping untuk berbincang mengenai perdagangan dan Korea Utara.
Presiden Amerika Syarikat itu juga memberi amaran kepada Pyongyang agar tidak memberi pertimbangan untuk melakukan serangan.
“Kami tidak akan membenarkan bandar-bandar Amerika Syarikat diancam dengan kemusnahan.
“Dan kita tidak akan membiarkan kekejaman yang paling buruk dalam sejarah diulangi di sini, atas alasan ini kita berjuang dan mati untuk selamat. Dunia tidak boleh bertolak ansur dengan ancaman rejim penyangak yang mengancam dengan nuklear,” kata Trump.
Beliau turut mengecam pemerintahan diktator Korea Utara yang kejam dan melakukan penindasan politik yang teruk terhadap rakyatnya.
Trump turut menyelar kehidupan Korea Utara dengan menyatakan rakyat negara itu menderita kerana ‘gulag’ (kem buruh politik) hingga pegawai kerajaan menyogok untuk bekerja di luar negara berbanding di tanah air sendiri.
“Jauh daripada menghargai rakyatnya sebagai warganegara yang sama, diktator kejam ini mengukur mereka, mengalahkan mereka dan meletakkan mereka berdasarkan kesetiaan kepada kerajaan,” kata Trump dalam ucapannya. – MalaysiaGazette