GEORGETOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu bertindak segera terhadap runtuhan tanah di kawasan pembinaan rumah mewah di lereng bukit di Tanjung Bungah, awal pagi Ahad.
Penasihat Penang Citizen Awareness Chant Group (Chant), Yan Lee berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) perlu menghantar pasukan penyiasat ke kawasan berkenaan bagi memantau pergerakan tanah dan melaporkan segera kepada penduduk sekitar.
Malah beliau turut mendesak agar kerajaan negeri perlu segera mengisytiharkan kawasan berkenaan tidak selamat diduduki sekiranya terdapat tanda-tanda runtuhan kedua bakal berlalu dalam masa terdekat.
“Tembok penahan gagal berfungsi sepenuhnya ekoran aliran air yang banyak di bawah tanah. Pihak kami telah mengutuskan sepucuk surat kepada MBPP bagi memastikan jurutera mereka pergi siasat kawasan berkenaan.
“Jika berlaku lagi kejadian tanah runtuh di kawasan itu ia akan mengakibatkan kawasan sekitar terlibat sama. Semua kawasan perumahan di sini akan turut runtuh.
“Sekiranya terdapat air mengalir di bawah tanah tempat pembinaan maka kerajaan negeri perlu mengisytihar kawasan itu bahawa kerana pada bila-bila masa akan berlaku runtuhan tanah kedua,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Dalam kejadian di Persiaran Tanjung Bungah 3 itu, bahagian hadapan, jalan dan kawasan tempat letak kereta yang menghadap enam buah kondominium musnah teruk.
Rekahan berlaku pada tembok penahan antara rumah mewah dan kondominium.
Dipercayai rumah mewah tersebut belum didiami dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Justeru katanya, tindakan segera perlu diambil oleh kerajaan negeri agar siasatan perlu digerakkan bagi memastikan kawasan itu selamat untuk didiami dan perlu isytihar mengenai status kawasan berkenaan.
“Malah mereka perlu lakukan pengawasan ketat ke atas kawasan itu dari sebarang runtuhan lanjutan.
“Jika hari ini berlaku hujan lebat sebagaimana beberapa hari lepas, pasti runtuhan lebih teruk dan ini membahayakan penghuni sekitar kawasan itu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.