SHAH ALAM – ‘Keceluparan’ mulut Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa bangsa Bugis adalah penyamun wajar menerima hukuman keras.
Malah jika Sultan Selangor menitahkan bekas perdana menteri itu dilarang masuk ke Selangor kesemua wakil rakyat BN tidak teragak-agak menyokongnya.
“Kita nak menyatakan sokongan kita dan perlu ada hukuman kepada orang ini yang nampaknya begitu celupar mengatakan suatu kaum itu.
“Untuk perpaduan negeri dan negara kita mesti jaga pertuturan kita jangan menyinggung mana-mana perasaan orang lain
“Kalau sekiranya berlaku (larang masuk Selangor), itu keputusan yang dibuat oleh tuanku, kita mohon menyokong,” katanya pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.
Terdahulu ADUN-ADUN BN Selangor melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh yang menolak lima usul tergempar yang dikemukakan mereka dalam sidang DUN, semalam.
“Usul ini cukup penting kerana kita merasakan satu penghinaan itu dibuat Pengerusi Pakatan Harapan yang menghina bangsa bugis.
“Kami terpanggil untuk membawa perkara kepada usul tergempar dewan pertamanya ini melibatkan orang ramai khususnya menyentuh perpaduan kaum dan bangsa itu,” tegasnya.
Abdul Shukur berkata, penolakan itu tidak senada dengan pendirian Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2018 yang menyentuh perpaduan antara kaum dan kesejahteraan negeri.
“Kita mengusulkan usul tergempar dan dibincangkan dalam dewan yang mulia ini untuk kita sama-sama membahaskannya.
“Ia tentang keceluparan atau kata-kata yang tidak begitu menyenangkan oleh pengerusi Pakatan Harapan disebutkan tentang suatu kaum itu.
“Apabila usul itu ditolak oleh Speaker yang menganggap ia perkara tidak penting, maka itu keterlaluan kerana isu ini melibatkan ketua negeri kita,” ulasnya.
Abdul Shukur juga menyifatkan penolakan usul tergempar ADUN BN itu sebagai tidak menyokong titah Sultan Selangor yang sebelum ini begitu murka dengan tindakan Mahathir itu.
“Penolakan itu bermakna mereka tidak menyokong dan mendokong titah Sultan Selangor,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau dan ADUN-ADUN BN Selangor akan menyerahkan memorandum menyokong titah Sultan Selangor berhubung kemurkaan tuanku mengenai penghinaan bangsa bugis itu, di Istana Bukit Kayangan, di sini, esok.
“Esok kita sendiri akan mengantar satu memorandum kepada tuanku dan menyatakan bahawa kita menzahirkan suatu sokongan kepada tuanku tapi ditolak begitu mentah oleh pihak DUN Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.
Comments are closed.