Video sel kanser ‘suka’ emas satu penipuan – Pakar

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini tersebar video ujikaji membuktikan sel kanser ‘takut’ kepada bawang putih dan ‘suka’ kepada emas.

Rakaman yang tersebar di media sosial dan whatapss itu tidak diketahui sumbernya.

Rakaman itu kononnya membuktikan sesiapa yang mengamalkan memakan bawang putih mungkin sukar diserang kanser dan sesiapa yang gemar memakai emas akan lebih mudah mengidap penyakit berbahaya itu.

Namun bagi Pakar Perunding Ginekologi Onkologi, Datuk Dr. Mohd Rushdan Md. Noor (gambar bawah), ia adalah satu penipuan daripada sudut akal manusia.

“Video yang kononnya menunjukkan sel kanser tertarik pada emas (kononnya bermaksud kanser suka pada emas dan boleh membiak lebih cepat) dan menolak bawang putih adalah jelas satu bentuk penipuan yang memperbodohkan akal manusia.

“Berkemungkinan ada pihak-pihak lain mengambil kesempatan ke atas video tersebut dan membuat taksiran sendiri untuk tujuan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya.

Kenyataan itu dibuat ekoran ramai pihak bertanya kepadanya berhubung video yang tular baru-baru ini.

Menurutnya, apabila doktor membedah dan mengeluarkan kanser daripada tubuh badan seseorang sel-sel kanser di dalam ketulan yang dikeluarkan itu akan mati serta merta kerana terputus bekalan darah dan nutrin daripada pesakit.

“Sebab itu apabila pesakit meninggal, sel-sel kanser yg terdapat di dalam tubuh badan mereka juga akan mati,” tegasnya lagi.

Menurut Rushdan, ketulan kanser itu kesemuanya akan dimasukkan ke dalam formalin (untuk dikakukan/fixated) dan diserahkan kepada makmal patologi untuk pemeriksaan, tidak ada sedikit pun akan ditinggalkan, apatah lagi memberinya kepada pesakit atau pun waris pesakit.

“Alasannya adalah supaya pakar patologi dapat menganalisa ketulan tersebut secara terperinci kerana inilah salah satu sebab pembedahan itu dilakukan selain daripada untuk merawat,” katanya.

Mengenai emas, katanya, platinum digunakan sebagai perhiasan wanita yg berharga lebih mahal daripada emas.

“Tahukah anda bahawa terdapat ubat antikanser bernama Cisplatin, Carboplatin dan Oxaliplatin yang berasaskan platinum. Kajian telah menunjukkan bahawa emas (Gold (III)/Au) juga mempunyai ciri-ciri antikanser walaupun masih di peringkat kajian.

“Ubat yang di dalamnya mengandungi pati logam platinum, perak dan emas ini dikenali sebagai metallodrugs,” jelasnya.- MalaysiaGazette

 

Comments are closed.