SHAH ALAM – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membantah tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menolak usul membahaskan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa menghina etnik Bugis.
Penyelaras ADUN BN Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata memorandum itu juga sebagai sokongan terhadap titah baginda yang menzahirkan kemurkaan terhadap kenyataan itu.
“Speaker DUN (Hannah Yeoh) semalam menolak usul (yang dikemuka ADUN Kuang Datuk Abdul Shukor Idrus) dengan alasan sangat remeh dan tidak munasabah, terutama bila beliau menyatakan perkara ini (usul) bukan berkepentingan.
“Pada saya isu ini sangat mustahak kerana ia melibatkan titah sultan, jadi kami ADUN BN rasa terpanggil dan bawa usul ini (ke DUN). Bila ditolak kami ingin menzahirkan perkara ini ke bawah Duli Tuanku supaya Tuanku tahu yang ADUN BN sentiasa bersama dan sentiasa sokong baginda dalam hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani di Istana Bukit Kayangan di sini.- BERNAMA\
Sokong jika Tun M dilarang masuk Selangor – Abdul Shukur