Friday, November 15, 2024
Home Seni Hidup Malek Noor sambut hari lahir depan Kaabah

Malek Noor sambut hari lahir depan Kaabah

Datuk Malek Noor bersama Pengasas Kumpulan GoalGreen, Nik Tree.

KUALA LUMPUR – Impian jaguh bina badan negara Datuk Malek Noor untuk menyambut hari lahir yang ke-63 tahun di Mekah dimakbulkan Tuhan apabila beliau bertolak ke Tanah Suci semalam.

Malek  tidak menyangka impian yang pernah diluahkan kepada isterinya menjadi kenyataan selepas mendapat rezeki mengacarakan sebuah program baharu, Sukan Ke Laut di Astro.
“Saya memang cakap dengan isteri, kalau ada rezeki hendak sambut hari lahir di Mekah. Kalau boleh saya dan isteri nak juga merasa menunaikan umrah dengan pakej yang sedikit mahal.

“Alhamdulillah, saya dapat tawaran mengacarakan dan itu rezeki yang diatur indah oleh Allah. Saya tidak menyangka di usia 63 tahun ini, saya diberi kesempatan yang cukup berharga.

“Saya bertolak pada 8 November (semalam) dan bakal berada di sana lebih kurang dua minggu. Jadi sempatlah sambut hari lahir pada 13 November di sana,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, Malek kini dilantik menjadi Presiden Yayasan GoalGreen di Kumpulan Goal Green sejak April lalu.

Jelasnya, GoalGreen yang bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setakat ini berkembang pesat di Malaysia dan kini mempunyai keahlian sebanyak 50,000.

“GoalGreen merangka satu perancangan yang mampan, iaitu menggabungkan sistem carbon credit dengan teknologi blockchain bagi memudahkan industri terlibat melakukan urus niaga mereka.

“Blockchain adalah sebuah teknologi yang menggabungkan pangkalan data dan sistem keselamatan.

“Ia bertindak sebagai platform pemindahan dan urus niaga dengan lebih cepat, selamat dan ekonomik,” katanya.

Malek juga bersyukur kerana masih diberikan kesihatan yang baik dan diberi peluang oleh pelbagai organisasi untuk menjalinkan kerjasama perniagaan.

“Goal Green bukan skim cepat kaya atau apa. Cuma satu bentuk pelaburan yang membolehkan masyarakat menjana ekonomi lebih baik untuk kelangsungan hidup di zaman yang semakin mencabar kos hidup,” katanya. – MalaysiaGazette