Home Utama Dalam ramai-ramai pembangkang, Guan Eng puji Azmin seorang

Dalam ramai-ramai pembangkang, Guan Eng puji Azmin seorang

IMBAS KEMBALI. Ketua Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang (tengah) membuat pembuangan undi bersama Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng (tiga kiri) pada Kongres Khas Parti DAP 2017 di Pusat Konsyensen Ideal (IDCC), Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 12 NOVEMBER 2017

SHAH ALAM – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Pusat yang cepat menghulurkan bantuan semasa banjir besar melanda negeri tersebut baru-baru ini.

Setiausaha Agung DAP itu memberi pujian melambung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta pimpinan kerajaan yang lain kerana kesungguhan mereka dalam membantu kerajaan DAP itu menghadapi bencana tersebut.

“Saya menghargai kerjasama Kerajaan Persekutuan atas tindakan pantasnya terhadap rayuan saya memohon bantuan pada hari yang malang itu pada awal pagi 5 November.

“Saya berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Selangor dan Perak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan (Menteri Besar Perak) Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, serta menteri-menteri (seperti) Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Noh Omar atas pertolongan mereka.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba, Polis, RELA dan semua agensi Negeri dan Persekutuan, serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, kerana berani dan bersungguh-sungguh membantu dengan ikhlas,” kata beliau semasa ucaptama Kongres Khas DAP 2017 hari ini.

Namun, agak menghairankan apabila ucapannya semasa pujian itu hanya terselit satu sahaja nama pemimpin pembangkang iaitu Mohamed Azmin.

Namun beliau tidak pula menyebut nama Ketua Pembangkang atau rakan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang lain.

Guan Eng juga mengumumkan sehingga jam 7.30 pagi tadi, DAP Pulau Pinang yang telah melancarkan tabung bantuan banjir dan sudah menerima sejumlah RM7,554,058 hasil sumbangan orang ramai.

“Walaupun sedih dan pilu, ada hikmahnya di sebalik bencana di Pulau Pinang. Ia berjaya mendekatkan kita sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau politik.

“Kini kita tahu tentang jasa bilal Sapno Tukijo yang membuka surau jagaannya di Taman Free School kepada 70 mangsa bukan-Islam, kita sedar tentang Kuil Kew Ong Yeah di Jalan Megat Harun di Bukit Mertajam yang menempatkan lima keluarga mangsa banjir orang Islam dan banyak NGO orang Islam dan bukan-Islam yang menghulurkan bantuan tanpa mengira kaum, agama atau politik.

“Memang banyak lagi yang perlu dilakukan selepas bencana ini. Saya sedar betapa susahnya keadaan ini, dan kerajaan negeri sedang melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Saya memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul sewaktu kami sedang berusaha untuk memulihkan keadaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette