Home Politik DAP ‘gelojoh’ luluskan 39 projek sekaligus di Tanjung Bungah

DAP ‘gelojoh’ luluskan 39 projek sekaligus di Tanjung Bungah

Datuk Seri Mah Siew Keong

KUALA LUMPUR – DAP diseru supaya berhenti menuding jari dan menyalahkan kerajaan terdahulu di Pulau Pinang selepas menerajui negeri itu hampir lapan tahun.

Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, DAP sebenarnya tidak dapat memerintah Pulau Pinang seperti kerajaan terdahulu sebaliknya ‘gelojoh’ dalam meluluskan pelbagai projek pembangunan yang akhirnya menyaksikan kemusnahan alam sekitar.

Bencana banjir yang teruk baru-baru ini meragut nyawa tujuh warga emas selain daripada 11 pekerja binaan maut selepas terbabit dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah sebenarnya akibat kecuaian serta kegelojohan DAP.

Siew Keong mendedahkan, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon hanya meluluskan sebanyak empat buah projek pembangunan di kawasan Tanjung Bungah manakala DAP pula sebanyak 39 projek sekaligus.

“Tsu Koon adalah seorang pemimpin yang bukan sahaja seorang pencinta alam sekitar malah beliau juga seorang pemimpin prihatin yang mementingkan kepentingan rakyat Pulau Pinang. Pulau Pinang pesat membangun namun tidak menggangu tetapi tidak membawa kemusnahan alam sekitar.

“Berlainan sekali dengan Ketua Menteri kini, Lim Guan Eng bukan sahaja telah sesuka meluluskan pelbagai projek pembangunan termasuk di lereng bukit malah enggan menerima langsung kesalahan itu sebaliknya terus menuding jari.

“Rakyat di Pulau Pinang sudah tentu nampak apa yang sedang terjadi kepada negeri itu sebelum dan selepas pemerintahan DAP yang rakus dan tidak peduli,” katanya ketika ucapan dasar Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-46 di sini hari ini.

Tambah Siew Keong, DAP perlu telus dan lebih ikhlas seperti laungan prinsip Cekap, Telus dan Akauntabiliti (CAT) milik parti itu.

“Tolong ambil tanggungjawab terhadap apa yang telah anda lakukan dengan lebih ikhlas dan bukan berterusan menyalahkan kerajaan terdahulu. Memang mudah untuk menyalahkan seseorang daripada memikul bebanan itu.

“Perjuangan DAP tidak ikhlas dan retorik semata-mata walaupun setelah menang Pulau Pinang. Kini sudah tiba masanya untuk Gerakan kembali ke Pulau Pinang. Sesiapa yang mengatakan Gerakan adalah parti nyamuk sebenarnya sudah ‘nyanyuk’ kerana kami akan kembali,” ikrar beliau.

Jelas beliau, Pulau Pinang semakin mundur dan sudah jauh kebelakang berbanding Johor dan Melaka kerana kerajaan DAP gagal membangunkan ekonomi negeri itu secara lestari.

“Kerajaan CAT gagal dalam semua aspek, pembangunan mampan tidak berlaku selalunya dilanda insiden tanah runtuh dan banjir, mereka gagal dalam aspek pemeliharaan alam sekitar kerana tidak melindungi penduduk di Sg Lembu daripada pencemaran apabila banyak kilang di biarkan beroperasi sehingga merosakkan alam sekitar.

“Bagaimana pula dengan rumah mampu milik yang masih kurang dan sangat ketara di Pulau Pinang? Tidak cukup dengan itu, Ketua Menteri yang sedang didakwa dengan kes rasuah masih lagi menduduki pejabat Ketua Menteri seolah dirinya benar-benar kebal,” tegasnya.

Dalam pada itu, Siew Keong turut membidas pembangkang yang berterusan menggunakan pelbagai taktik kotor untuk terus menanam kebencian supaya rakyat berpecah belah dan tidak hidup aman damai.

“Pembangkang yang diterajui oleh Pakatan Harapan sebenarnya muflis daripada segi politik dan ketandusan idea kerana visi mereka hanya dongeng semata-mata. Kepimpinan mereka lebih suka menjatuhkan satu antara satu sama lain demi agenda peribadi.

“Pakatan Harapan adalah resipi kemusnahan dan rakyat Malaysia harus menolak mereka pada PRU akan datang demi masa depan yang lebih baik,” katanya.- MalaysiaGazette