Home Politik Jangan pentingkan kroni, pujuk semula NGO ‘merajuk’

Jangan pentingkan kroni, pujuk semula NGO ‘merajuk’

Presiden Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah.

KUALA LUMPUR – Pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) digesa agar tidak terlepas pandang usaha badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja keras dalam membantu kerajaan.

Ini termasuk NGO-NGO yang bekerja setulus hati untuk membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar untuk rayat, kata Mohd. Ridzuan Abdullah.

Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) itu berkata, sekarang ini terdapat banyak NGO yang bertindak ‘menyepikan diri’ dan ‘merajuk’ kerana mereka rasa terpinggir.

Katanya, perkara itu terjadi disebabkan pimpinan atasan dilihat seolah-olah melebihkan NGO-NGO yang tidak melaksanakan peranannya dengan betul sehingga kemudiannya memberi implikasi negatif kepada BN sendiri.

“Disebabkan sikap kroni, cuma bagi kepada satu atau dua sahaja NGO peruntukan untuk buat itu dan ini.

“Ada pula NGO sampai tiada idea terpaksa buat hingga pakai tuala mandi dan sebagainya. Disebabkan inilah Barusan Nasional akan kalah,” katanya ketika menjadi panel pada forum Hal Ehwal dan Isu Semasa; Hala tuju Bajet 2018 TN50: Pendidikan, Ekonomi dan Kuasa Melayu di PWTC petang tadi.

Justeru, Mohd. Ridzuan berkata, semua NGO yang tertubuh sebenarnya merupakan jentera yang akan membantu BN dalam mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, dengan suntikan dan dana yang diberikan kepada NGO yang mempunyai kesungguhan dalam membantu BN matlamat untuk mencapai kemenangan besar dan merampas kembali negeri-negeri di kuasai pembangkang akan tercapai. – MalaysiaGazette