JOHOR BAHRU – Pendakwah Dr. Zamihan Mat Zin diminta supaya berhenti bercakap pelbagai perkara yang boleh mensensasikan keadaan, tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Nur Jazlan turut mengingatkan Zamihan sekiranya perkara sama berulang, pihak kementerian tidak teragak-agak untuk membuat penilaian semula tugas pendakwah itu.
Katanya, tindakan Zamihan yang juga penjawat awam mengkritik kerajaan menerusi video yang tular itu disifat sebagai mengecewakan dan tidak sepatutnya dibuat.
Pada masa sama, Nur Jazlan berkata, kementerian tidak mempertikai kewibawaan Zamihan dalam menjalankan tugas terutama usaha pemulihan tahanan yang disyaki terlibat aktiviti pengganas.
“Jadi saya minta Ustaz Zamihan berhenti daripada bercakap, berfikir dulu sebelum bercakap dan jangan lagi mensensasikan keadaan yang sekarang agak tegang tambah lagi dengan apa yang berlaku di Arab Saudi, Lebanon.
“Maka segala pertuturan beliau dipantau dan boleh menimbulkan masalah. Jadi saya minta beliau senyap,” katanya pada sidang media pada program bersarapan bersama rakyat di Taman Cempaka di sini hari ini.
Video berdurasi 2 minit 27 saat itu, Zamihan mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kurang cerdik kerana memberikan tanah seluas 16 hektar kepada Arab Saudi untuk membina Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Putrajaya.
Dalam video itu, Zamihan berkata, Malaysia tidak memerlukan Arab Saudi untuk memulihkan tahanan militan kerana agensi sedia ada dalam negara sudah mencukupi.
Difahamkan, video yang tular itu dirakam dalam ceramah Zamihan di sebuah masjid di Ampang, Selangor dan dimuat naik di YouTube pada 11 Julai 2017 sebelum ia menjadi tular. – MalaysiaGazette