LAHAD DATU – Ketua UMNO Bahagian Silam Datuk Mohd Yusof Apdal menolak andaian pihak tertentu bahawa beliau lebih mementingkan politik berbanding ikatan kekeluargaan iaitu hubungan adik dan abang dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Yusof menegaskan hubungan persaudaraan dan perjuangan politik merupakan dua perkara berbeza dan tidak sepatutnya dimanipulasi dengan cara menjadikannya sebagai isu besar.
“Dia (Shafie) tetap abang saya, prinsip perjuangan politik kami berbeza dan saya memilih untuk terus setia pada UMNO,” katanya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurutnya ideologi politik adalah hak individu dan beliau memilih untuk kekal dan bersama dalam perjuangan UMNO dan Barisan Nasional kerana yakin parti keramat itu konsisten menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan negara.
Dalam pada itu, Yusof terus mengingatkan anggota UMNO di bahagian Silam agar tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu yang sengaja menggunakan isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melemahkan perjuangan UMNO Silam.
“Anggota UMNO dan pengundi perlu melihat perkara ini dari sudut yang positif dan mengaitkan dengan perjuangan politik parti.”
“Kita harus merapatkan barisan dan mengetepikan semua perkara yang boleh mengganggu perjalanan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14),” katanya.
Sementara itu, Yusof berkata beliau akan terus menggalas tanggungjawab dan komited melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan itu walaupun baru selesai menjalani rawatan kesihatan.
“Penting bagi saya untuk memastikan rakyat terus yakin terhadap UMNO dan BN kerana kerajaan sedia ada ini telah banyak berbakti kepada rakyat,” katanya.- BERNAMA