Home Nasional Dua tekong warga Vietnam ditahan disyaki cuba rasuah anggota APMM

Dua tekong warga Vietnam ditahan disyaki cuba rasuah anggota APMM

JOHOR BAHRU – Dua tekong warga Vietnam ditahan kerana disyaki merasuah seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpangkat Bentara Kanan sebanyak RM10,000 semasa pengadu melakukan rondaan Operasi Perkasa Selatan di perairan di Mersing.

Kedua-dua lelaki warga Vietnam itu yang berusia masing-masing 27 dan 28 tahun ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang pada 11 pagi semalam.

Hasil siasatan dijalankan, wang itu sebagai dorongan untuk melepaskan 2 bot Vietnam atas beberapa kesalahan antaranya gagal mengemukakan lesen bot, 2 orang tidak mempunyai passport yang sah dan memiliki peralatan tangguk tunda di atas bot.

Kedua-dua tekong bot tersebut juga ditahan kerana memberikan wang rasuah terlebih dahulu kepada pengadu berjumlah RM500 dan RM800 bagi melepaskan bot mereka atas kesalahan sama.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(b)Akta SPRM 2009 yang mana boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai rasuah atau RM 10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata suspek akan dihadapkan ke mahkamah pagi ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette