KUALA LUMPUR – Kerajaan menafikan tuduhan Presiden Amerika Syarikat bahawa Malaysia adalah salah satu ‘penipu perdagangan’ hingga menyebabkan defisit perdagangan negara itu dengan Malaysia.
“Malaysia bukan ‘penipu perdagangan’ seperti yang didakwa oleh Donald Trump
“Statistik perdagangan Malaysia merekodkan Amerika Syarikat hanya mempunyai defisit perdagangan sebanyak AS$55 bilion dengan Malaysia.
“Sehingga kini, pentadbiran Amerika Syarikat belum mengumumkan defisit perdagangannya dengan rakan-rakan dagangan lain,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan William Leong Jee Ken (PKR-Selayang) mengenai tindakan kerajaan untuk mempertahankan Malaysia daripada dakwaan menyebabkan defisit perdagangan berjumlah AS$50 bilion kepada Amerika Syarikat.
Malaysia merupakan salah sebuah negara daripada 16 negara yang didakwa ‘penipu perdagangan’. Negara-negara lain termasuk Indonesia, dan Thailand, Itali, Jepun, Malaysia, Mexico, Korea Selatan, Switzerland, Taiwan dan Vietnam.
Mustapa berkata, Jabatan Perdagangan dan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat telah menyediakan laporan itu dan dihantar ke White House pada 29 Jun lalu.
Selain itu, penjelasan telah diberikan semasa kunjungan delegasi Malaysia ke White House pada September lalu.
Tambahnya, beliau dan perdana menteri telah menjelaskan perbezaan data defisit kerana Amerika Syarikat mengambil kira import melalui pihak ketiga.
Contohnya, kata Mustafa, barangan elektrik dan elektronik yang dieksport ke Amerika Syarikat melalui Singapura dikira sebagai import dari Malaysia dan bukan Singapura.
Malah, kaedah pengiraan jumlah eksport turut berbeza bagi kedua-dua negara, dengan Malaysia tidak mengambil kira kos perkapalan dan insurans, sebaliknya Amerika Syarikat memasukkan semua kos.
Menurut Mustafa, Malaysia komited dengan perdagangan bebas dan tidak memanipulasi mata wang mahu pun memberi sebarang bantuan yang menyalahi undang-undang antarabangsa. – MalaysiaGazette