Home Nasional PM: Pastikan Bajet 2018 sampai kepada rakyat

PM: Pastikan Bajet 2018 sampai kepada rakyat

Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Tun Razak mahu setiap kementerian bersiap sedia bagi memastikan apa yang direncanakan dalam Bajet 2018 mencapai matlamat dan sampai kepada rakyat semuanya.

Perdana Menteri merujuk kepada Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat dasar yang diluluskan persidangan Dewan Rakyat semalam selepas mendapat undian majoriti anggota Parlimen.

“Alhamdulillah, Rang Undang-undang Perbekalan 2018 atau Bajet 2018 diluluskan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama,” katanya menerusi catatan di laman Twitter dan Facebooknya.

Rang undang-undang itu diluluskan melalui undian belah bahagian yang menyaksikan 107 anggota Parlimen menyokong rang undang-undang itu berbanding 59 yang menolak dan 11 tidak mengundi.

Rang undang-undang yang memperuntukkan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan dibentangkan Najib, yang juga Menteri Kewangan pada 27 Oktober lepas, dibahaskan selama enam hari sejak 30 Oktober.

Ia kemudiannya digulung di peringkat kementerian selama tiga hari bermula 8 November, sebelum diluluskan di peringkat dasar semalam dan dijadual dibahaskan di peringkat jawatankuasa bermula hari ini. – Bernama