KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia amat dihormati di mata dunia dan dipandang tinggi oleh beberapa pemimpin dunia.
Najib berkata pemimpin dunia antaranya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping memandang tinggi akan pencapaian negara selama ini.
“Saya baru balik persidangan APEC. Malaysia berjaya di persada antarabangsa. Kita berjaya, bukan boleh diperlekehkan oleh sesiapa. Pemimpin dunia antaranya Presiden USA dan China hormat kita
“Yang tidak hormat cuma seekor dua sahaja dalam negara,” katanya selepas merasmikan Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka Merdeka sebentar tadi.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta semua barisan Kabinet.
Dalam pada itu, Najib berkata rakyat tidak seharusnya memperjudikan nasib dan masa depan negara kepada pihak lain.
Ujarnya nasib rakyat di negara ini adalah di tangan Barisan Nasional (BN) yang terbukti berjaya memberikan pembangunan dan kestabilan ekonomi.
“Masa depan rakyat Malaysia adalah di tangan kami (BN). Tidak payah termakan janji pihak yang berkenaan. Pegang dan berpaut kepada yang ada hari ini,” katanya lagi.
BN katanya telah menyediakan negara di landasan yang betul dalam memacu perkembangan ekonomi yang mampan sepanjang pemerintahannya.
Memberikan contoh, Najib berkata pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) nyata memberikan impak kepada perkembangan sosio ekonomi setempat.
“Ramai yang datang jumpa saya menyesal mereka tidak ada laluan MRT. Bila MRT nak lalu di kawasan kami, tanya mereka.
“Kalau ada MRT penghuni akan senang malah nilai harta mereka bertambah lebih tinggi malah mereka yang menjalankan sate di Kajang melambung kerana ada nya laluan MRT.
“Saya nak rakyat sedar kalau sebagai sebuah kerajaan kita mampu berikan MRT. Bukan senang banyak negara lain mahu MRT Mereka tidak mampu buat,” katanya di hadapan lebih 2,000 pengunjung Expo Negaraku.
Kerajaan, katanya, bukan sahaja mementigkan pembangunan infra rakyat, namun perlu lebih kepada mengubah minda rakyat.
Ia penting kerana rakyat perlu yakin bahawa masa depan mereka berada di tangan yang mampu untuk membawa Malaysia jauh ke hadapan. -MalaysiaGazette.