Home Nasional Pengguna internet meningkat, Facebook paling popular di Malaysia

Pengguna internet meningkat, Facebook paling popular di Malaysia

social media online
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengguna internet di Malaysia meningkat setiap tahun daripada 24.2 juta orang pada 2015 kepada 24.5 juta orang pada 2016 dan angka tersebut dijangka melonjak lagi pada 2017.

Statistik peningkatan penggunaan tersebut itu diperoleh hasil daripada Kajian Pengguna Internet yang dilakukan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dimana didapati orang ramai menggunakan internet selama empat jam sehari dan sebanyak 15.5% pengguna adalah remaja bawah umur 19 tahun.

“Kita dapati peratus penggunaan internet meningkat hasil Kajian Pengguna Internet yang kita lakukan, pada 2016, 80 peratus dan pada tahun ini 89.3 peratus setakat ini,” kata timbalan menterinya, Datuk Seri Jailani Johari.

Daripada jumlah tersebut, pengguna laman sosial Facebook yang paling popular dikalangan rakyat Malaysia berbanding aplikasi lain.

“Dan kita dapat lihat peratusan daripada segi pemilik akaun media sosial, pertama Facebook daripada 2016 96.5 peratus meningkat 97.3 peratus, Instagram 46.7 peratus kepada 56.1 peratus, WeChat 60.2 peratus kepada 43.7 peratus dan Twitter 26.5 peratus kepada 26.6 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, Jailani menasihati supaya pengguna internet agar berhati-hati dalam menggunakan platform media sosial kerana data-data peribadi mereka sebenarnya mudah diperoleh sama ada secara sedar atau tidak sedar.

“Tapi sebagai pengguna seperti mana saya tekankan tadi, kadangkala kita tak sedar data pengguna ini dikumpul setiap hari secara sedar atau tanpa kesedaran pengguna sendiri.

“Jadi, kita sebagai pengguna kena lah behati-hati,” katanya. – MalaysiaGazette