Home Nasional Polis tahan dua lelaki jual Datuk, Datuk Seri

Polis tahan dua lelaki jual Datuk, Datuk Seri

Pelbagai barang yang dirampas polis Johor ekoran kejayaan membongkar sindiket yang menghasut orang ramai menjadi ahli pertubuhan haram sebelum ditawarkan Darjah Kebesaran Negeri yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri pada sidang media di IPK Johor.

JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat menghasut orang ramai supaya menjadi ahli pertubuhan haram yang menjual gelaran Darjah Kebesaran Negeri untuk mendapat gelaran Datuk dan Datuk Seri di bandar raya ini pada 30 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kedua-dua suspek berusia 40 dan 57 tahun itu didapati bergiat aktif dalam sebuah NGO sebagai mengaburi mata masyarakat.

Menurutnya, sebanyak 13 laporan polis dibuat membabitkan kerugian RM1.34 juta ke atas sindiket tersebut yang dikesan aktif menjual watikah pelantikan dan Darjah Kebesaran Negeri bagi negeri lain.

“Hasil siasatan awal mendapati, sindiket itu menawarkan bayaran antara RM20,000 ke RM30,000 untuk menjadi ahli dan bayaran RM180,000 bagi gelaran Datuk dan RM280,000 bagi gelaran Datuk Seri,” katanya pada sidang media di IPK Johor di sini hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan awal juga mendapati pertubuhan tersebut mempunyai kira-kira 40 ahli. – MalaysiaGazette