KUALA LUMPUR – Perpecahan dan pertelagahan orang Melayu dalam politik menyebabkan pelbagai pihak semakin tidak menghormati dan hilang sensitiviti terhadap kaum itu.
Akibatnya, timbul berbagai-bagai isu yang menampakkan diskriminasi terhadap orang Melayu secara langsung atau tidak langsung.
Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundingan MPM ialah Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, perpecahan ini telah menyebabkan orang Melayu yang majoritinya Islam sudah tidak sepakat dalam isu-isu tertentu demi kepentingan masing-masing.
Apabila situasi ini berlaku, pihak-pihak lain akan mengambil kesempatan daripada orang Melayu dan Islam.
Tambahnya, inilah terjadi dalam banyak isu membabitkan orang Melayu dan Islam termasuk dalam isu dobi Muslim dan terbaharu isu larangan bertudung dalam kalangan pekerja bahagian hadapan hotel.
Tegas Abdul Aziz, isu larangan pemakaian tudung yang dikenakan terhadap kakitangan bahagian hadapan hotel merupakan satu penganiayaan secara jelas terhadap Islam dan orang Melayu di Malaysia, yang mana agama rasmi adalah Islam.
“Jangan kata dari segi Perlembagaan, ia (larangan bertudung) adalah salah. Dari segi hukum Allah pun sudah tersasar. Memakai tudung oleh wanita Islam adalah wajib.
“Apa salahnya wanita Islam bertudung? Bukannya dengan bertudung boleh memberi imej yang tidak baik pada hotel.
“Tudung adalah pakaian sebab itu dunia sudah terima wanita Islam pakai tudung,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Larangan pemakaian tudung itu tercetus apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan aduan pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung.
Larangan itu kemudian dipertahankan oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang menyifatkan ia sebagai dasar antarabangsa.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz yang juga merupakan seorang peguam menaruh harapan agar isu-isu sensitif melibatkan orang Melayu dan Islam dipandang serius oleh kerajaan bagi mengelakkan rasa tidak hormat pihak lain kepada bangsa dan agama itu.
“Jangan kita buka peluang pihak-pihak tertentu menjatuhkan imej orang Melayu dan Islam dengan isu-isu sensitif,” katanya sambil menambah kakitangan hotel yang terlibat larangan bertudung itu boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan mereka. – MalaysiaGazette