KOTA TINGGI – Seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tiga orang kanak-kanak dicekup semasa bersembunyi dalam hutan berhampiran pantai Pulau Hijau, Bandar Penawar di sini, dipercayai sedang menunggu bot pancung untuk diseludup keluar ke negara jiran.
Mereka yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan antara 11 malam hingga awal pagi ini terdiri daripada enam lelaki, tujuh wanita, dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia antara 10 tahun hingga 50an.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu berkata, semua mereka ditahan hasil maklumat risikan diterima pihaknya dalam Op Pensura dan Op Landai terdapat aktiviti cubaan PATI keluar dari negara ini melalui jalan tidak diwartakan.
“Hasil siasatan awal mendapati, antara kesalahan dilakukan mereka adalah tidak mempunyai dokumen sah, tinggal lebih masa dan cuba keluar melalui jalan tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, semua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
Paul berkata, PPM akan meneruskan risikan dan operasi untuk mengekang aktiviti penyeludupan migran dan mengesan sindiket yang terlibat. – MalaysiaGazette