KUALA LUMPUR – Polis belum menangkap mana-mana individu bergelar Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri yang didakwa menjadi dalang kewujudan sindiket perjudian di negara ini.
Bagaimanapun, hanya enam individu yang dikaitkan dengan sindiket tersebut telah ditahan untuk siasatan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Beliau berkata, polis kini sedang melaksanakan langkah-langkah untuk mengesan dan memburu sindiket-sindiket terbabit meskipun cuba diganggu oleh pihak tertentu.
“Walaupun kita sedang berusaha sedaya-upaya untuk mengekang masalah ini tapi, bila kita buat apa sahaja nampaknya ada sahaja pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Perhimpunan Pegawai Awam, Polis Diraja Malaysia (Pacsu) di Maktab PDRM di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi tidak menafikan ada pembabitan pegawai-pegawai peringkat bawah yang didapati bersekongkol dengan sindiket terbabit namun menegaskan tidak akan berkompromi dalam hal itu.
Katanya, beliau berjanji akan mengambil tindakan keras terhadap anggota yang terlibat demi menjaga nama baik pasukan keselamatan itu.
“Saya tidak akan berkompromi dengan masalah-masalah yang melibatkan pegawai kanan atau anggota-anggota diperingkat bawah.
“Tindakan-tindakan berterusan sedang kita ambil untuk menangani masalah ini,” ujarnya.
Awal bulan lalu, Mohamad Fuzi mendedahkan ada orang kenamaan (VIP) bergelar Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri yang didapati menjadi dalang kewujudan sindiket perjudian di negara ini.
Menurutnya, golongan itu menggunakan pengaruh mereka untuk melindungi sindiket haram berkenaan.
Terdahulu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan pernah membuat pendedahan mengenai kegiatan perjudian haram yang didakwa didalangi oleh sindiket dikenali 9 Dragon yang mengutip hasil sebanyak RM5 bilion sebulan – MalaysiaGazette