KUALA LUMPUR – Sime Darby Bhd. akan diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu, Jeffri Salim Davidson, di samping ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan baharu, berkuat kuasa 1 Disember 2017.
Ini susulan penyenaraian unit perladangan dan hartanahnya sebagai entiti berasingan pada 30 November 2017, satu proses yang akan menyelaraskan perniagaan kumpulan Sime Darby.
Syarikat dengan operasi pelbagai itu juga bakal mengalu-alukan pengerusi baharunya, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.
“Lembaga dan pengurusan kanan, dalam kalangan mereka, memiliki pengalaman luas dan kepakaran yang diperlukan untuk meningkatkan lagi tahap perniagaan dagangan dan logistik,” kata Abdul Ghani dalam satu kenyataan hari ini.
Sime Darby akan menumpukan terutamanya bagi perniagaan dagangannya dalam sektor motor dan peralatan berat, selain melibatkan diri dalam sektor pertumbuhan utama seperti perniagaan logistik dan penjagaan kesihatan. – Bernama