Home Nasional Komputer punca ramai anak muda hidap penyakit kronik

Komputer punca ramai anak muda hidap penyakit kronik

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Perubahan gaya hidupĀ  zaman moden apabila golongan muda kini lebih banyak menghabiskan masa duduk di depan komputer sehingga terabai kecergasan tubuh badan punca peningkatan penyakit kronik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata perubahan gaya hidup itu merupakan punca besar yang menyumbang peningkatan penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan paras kolesterol dikalangan golongan muda berumur sekitar 18 hingga 40 tahun.

“Punca besar, makanan tak dikawal apa yang dimakan tidak sihat dan masa, apabila kecergasan dalam kehidupan harian sudah kurang khususnya dengan budaya komputer dan sebagainya… ada yang duduk depan komputer sahaja,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini..

Jelas beliau, penyakit kronik dikalangan orang muda yang berumur lingkungan 18 hingga 40 tahun amat membimbangkan apabila statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 menunjukkan peningkatan yang drastik.

“Penyakit kronik semakin membimbangkan di negara kita dan penyakit ini bukan sahaja didapati golongan tua tapi buat masa sekarang penyakit diabetes dan hypertensi juga sudah dilihat dikalangan orang muda juga.

“Dalam kajian dilakukan, ia menunjukkan kelaziman jumlah pesakit ini meningkat tahun ke tahun,” katanya.

Menurut kajian NHMS yang terkini pada 2015, dianggarkan sebanyak 9.2% atau 1 juta penduduk Malaysia mengidap diabetes, 14.7% atau 1.7 juta orang mengidap penyakit hypertensi bagi penduduk Malaysia berumur 18 hingga 40 tahun.

Selain itu, dalam kumpulan itu juga anggaran paras kolestrol lebih tinggi dalam darah berada pada lingkungan 33% dan berat badan terlebih atau obesiti lebih kurang 14%.

Subramaniam juga berkata kesannya kini jumlah pesakit dikalangan golongan muda juga meningkat dua kali ganda.

“Jadi kerana perkara-perkara ini kita lihat peningkatan kemasukan pesakit berumur lingkungan ini ke hospital sebanyak dua kali ganda sepanjang empat tahun daripada 2012 sampai 2016,” ujarnya.

Secara keseluruhan, Subramaniam memberitahu hampir 47% rakyat Malaysia dikatakan overweight iaitu berat badan mereka lebih daripada berpatutan
dan daripada kumpulan ini yang ditakrifkan sebagai obesiti adalah 15%. – MalaysiaGazette