Home Nasional Lelaki cuba seludup keluar 24 tong gas ditahan

Lelaki cuba seludup keluar 24 tong gas ditahan

TAWAU- Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan seorang lelaki ketika cuba menyeludup keluar 24 tong gas cecair petroleum dan 13 guni berisi pakaian serta kasut terpakai, di kawasan perairan Ice Box di sini.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Yazib Abdul Aziz berkata bot laju dinaiki juragan berusia 35 tahun itu dipintas sekitar 8.30 malam semalam ketika pihak PPM menjalankan Operasi Maharlika Interpol.

Katanya juragan terbabit dipercayai cuba menyeludup barangan tersebut ke Indonesia.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot laju itu menemukan 12 tong gas MyGaz, 12 tong gas Petronas dan barangan terpakai, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yazib berkata, juragan yang hanya memegang kad pengenalan sementara gagal menunjukkan dokumen atau sebarang surat kebenaran yang sah untuk membawa barangan tersebut.- BERNAMA