Home Nasional LZS siasat ibu tunggal dipotong bantuan sewa rumah

LZS siasat ibu tunggal dipotong bantuan sewa rumah

Norajun Ainun Mohd. Hashim,

KUALA LUMPUR – Lembaga Zakat Selangor (LZS)  akan menjalankan siasatan mengenai dakwaan seorang ibu tunggal di Sepang, Fara Hida Azmi yang tidak lagi menerima bantuan sewa rumah.

Menurut Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd. Hashim, badan pungutan zakat itu dalam masa yang sama mengesahkan Fara Hilda salah seorang penerima bantuan LZS.

“LZS prihatin dengan kesukaran yang dihadapi oleh Fara sekeluarga. Untuk makluman, keluarga ini merupakan asnaf miskin yang berdaftar dengan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MalaysiaGazette awal hari ini melaporkan seorang ibu tunggal anak lima menghadapi kesempitan hidup apabila bantuan sewa rumah LZS yang disalurkan kepadanya dipotong tanpa makluman beliau.

Fara Hida, 34 mendakwa, ekoran itu dia mengalami kesukaran untuk menyediakan keperluan asas seperti makanan kepada anak-anaknya setelah mendapati bantuan tersebut dihentikan.

Malahan itu, kehidupannya sekeluarga bertambah perit apabila beliau tidak dapat menjalankan perniagaan kecil-kecilan kerana bebanan kewangan.

Menurutnya lagi, dia terpaksa menghidangkan bubur kosong berlaukkan cili padi kepada lima anaknya bagi memastikan anak-anak tidak kebuluran setelah ditinggalkan suami sejak setahun lalu.

Norajun berkata, keluarga terbabit menerima bantuan sewa rumah daripada LZS sejak 2012 dan pelbagai lagi bantuan lain.

Antaranya, bantuan kewangan bulanan, bantuan Hari Raya dan bantuan pendidikan untuk anak-anaknya.

“Keluarga tersebut sememangnya berada di bawah pemerhatian Zakat Selangor. Walau bagaimanapun pihak Zakat Selangor akan memberi maklum balas segera berhubung laporan di Malaysia Gazette,” jelas Norajun lagi.

Fara Dila sekeluarga semalam dikunjungi Pemuda MIC Selangor dalam Program Sentuhan Kasih Pemuda MIC di Jalan Haji Hanafi, Kampung Desa Putra Sepang, Selangor.

Bantuan berupa wang tunai turut diserahkan Ketua Pemudanya, Kajendran Doraisamy bagi meringankan beban ibu tunggal berkenaan. -MalaysiaGazette.

Makan bubur kosong, lauk cili padi