Home Nasional Makan bubur kosong, lauk cili padi 

Makan bubur kosong, lauk cili padi 

Keadaan rumah yang didiami ibu tunggal lima anak, Puan Fara Hida Azmi pada Program Sentuhan Kasih Pemuda MIC di Kampung Desa Putra Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 15 NOVEMBER 2017

SEPANG – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Itulah yang dilalui seorang ibu tunggal, Fara Hida Azmi, 34, apabila terpaksa menyara lima anak kecil bersendirian sejak setahun lalu.

Akibat kesempitan wang, ibu muda ini hanya mampu menyediakan bubur kosong berlaukkan cili padi kepada kelima-lima anaknya demi kelangsungan hidup.

“Anak-anak saya pernah tidak makan kerana kesempitan duit. Pernah kami makan bubur kosong tanpa sebarang lauk sebab tidak mampu nak beli keperluan dapur. Ada nasi untuk buat bubur pun syukur.

“Kesian anak-anak saya masih kecil sudah diduga dengan kemiskinan. Pernah satu ketika saya goreng nasi letak cili api bagi anak saya makan,” katanya ketika dikunjungi Ketua Pemuda MIC Selangor, Kajendran Doraisamy semalam dengan bantuan Timbalan Ketua Pemuda MIC, Hulu Langat, Chandrathevan Seeralan.

Ketua Pemuda MIC Selangor, Kajendran Doraisamy beramah mesra bersama keluarga ibu tunggal lima anak, Puan Fara Hida Azmi pada Program Sentuhan Kasih Pemuda MIC di Kampung Desa Putra Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 15 NOVEMBER 2017

Lebih daripada itu, dia kini berdepan dengan kesulitan kerana bantuan sewa rumah sebanyak RM350 sebulan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS)  tiba-tiba dipotong.

“Tindakan LZS yang potong bantuan sewa rumah memberi tekanan kepada saya untuk meneruskan hidup.

“Dimana saya nak cari duit sewa sedangkan saya tidak bekerja? Saya pernah diminta keluar dari rumah ini kerana gagal bayar sewa rumah.

“Nak bayar sewa rumah dengan perbelanjaan lima orang anak. Rumah sewa ini pun sering dilanda banjir dan pokok tumbang,” kata Fara yang bimbang akan keselamatan anak-anaknya.

Lebih malang, mata pencarian sebagai pembuat manisan hilang setelah satu-satunya kenderaan yang digunakan untuk berniaga rosak dan tidak dapat dibaiki.

Fara yang diceraikan setahun lalu terpaksa ‘menebalkan muka’ berhutang dengan kedai runcit berhampiran rumahnya untuk mendapatkan barang keperluan terutamanya susu tepung, beras dan lampin pakai buang yang kini sudah mencecah RM400.

“Mereka pun sudah tidak bagi saya ambil barang di kedai mereka sehinggalah saya langsaikan hutang tersebut,” katanya.

Selain bantuan sewa rumah daripada Lembaga Zakat Selangor, Fara turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500, namun jumlah itu tidak dapat menampung perbelanjaan lima anaknya yang masih kecil.

“Saya menghadapi kesulitan untuk mencari kerja kerana tidak ada yang mahu menjaga anak-anak saya, sekolah pun tidak pergi kerana tiada pengangkutan.

“Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin pun gagal untuk saya hubungi memohon bantuan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 162441163871 atas nama Fara Hida Azmi. -MalaysiaGazette.

2 Komen

  1. Dimanakah suami beliau? Walaupun mereka sudah bercerai tetapi anak adalah tanggungjawab seorang ayah.. (lelaki zaman sekarang )

Comments are closed.