KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) merancang untuk meningkatkan pelaburan swasta dan aset pendapatan tetap bermula tahun depan.
Ini adalah sebahagian daripada sasaran untuk mengurangkan pegangan tunai entiti itu dalam tempoh lima tahun, kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
PNB dengan RM271 bilion aset bawah pengurusan setakat akhir September berhasrat untuk mengurangkan pegangan tunainya kepada 12 peratus menjelang 2022 berbanding 18.5 peratus setakat ini.
Dengan sasaran untuk mengembangkan aset kepada RM350 bilion menjelang 2022, PNB perlu mencari peluang pelaburan dengan tambahan RM23 bilion.
“Keutamaan kami adalah pelaburan swasta dan kemudiannya pendapatan tetap diikuti hartanah.
“Itu susunannya,” kata Abdul Wahid semasa Sidang Kemuncak Tinjauan Masa Hadapan Pelaburan Global Reuters 2018 di sini hari ini.
Tambah beliau, PNB perlu mengambil sedikit masa untuk membuat pelaburan swasta kerana perlu mengenal pasti dana-dana pelaburan dan ekuiti swasta yang tidak disenarai di bursa.
Katanya, terdapat lebih banyak pelaburan sedemikian tahun depan namun Abdul Wahid tidak mengulas lanjut.- MalaysiaGazette