TUMPAT – Polis sedang memburu seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai Sharat Eh Wang @ Pot, 31 , yang dipercayai suspek utama kes pembunuhan kejam tiga beranak di sebuah rumah di Taman Bahagia, Kota Bharu semalam.
Eh Wang yang berasal dari Kampung Jubakar di sini dikatakan bekerja dengan mangsa sebagai pemandu van untuk menghantar alat perkakasan.
Timbalan Ketua Polis, Datuk Din Ahmad berkata, pihaknya percaya dapat menangkap lelaki yang bekerja dengan mangsa sejak empat tahun lalu itu dalam masa terdekat.
Beliau berkata, maklumat mengenai kejadian dan lelaki itu diperoleh daripada anak mangsa yang kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab II selepas dihentak dengan tukul oleh suspek.
“Suspek mempunyai hubungan rapat dengan keluarga mangsa.
“Setakat ini, polis percaya kejadian bunuh ini bermotifkan dendam disyaki berkaitan dengan kewangan atau perselisihan faham antara suspek dengan keluarga mangsa sebelum ini,” katanya di sini hari ini.
Katanya, siasatan polis juga mendapati suspek cuba untuk melarikan diri ke sempadan negara.
“Kita percaya dapat menangkap suspek dalam masa terdekat,” katanya.
Semalam, pasangan suami isteri, Kha Eng Ni, 42, dan Chua Joo Seok, 37, ditemukan mati selepas ditikam beberapa kali di dada serta badan dengan pisau dan besi tajam di sebuah rumah di Taman Bahagia, Kota Bharu.
Seorang anak lelaki mangsa yang berumur 13 tahun, Kha Zee Hanz turut maut akibat dihentak dengan di belakang kepala.
Anak perempuan pasangan itu, Kha Xing Rhuu, 15, yang turut dipukul cedera parah dan dirawat di HRPZ II.
Pasangan suami isteri itu dikatakan menjalankan perniagaan membekal alat perkakasan di negeri ini.