KUALA LUMPUR – Seramai 350 orang mahasiswa dari universiti awam dan swasta dipilih untuk menyertai Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas 5.0) di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Malaysia dan Yayasan Minda, Senator Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata, persidangan anjuran Biro Pendidikan UMNO Malaysia itu akan berlangsung selama enam hari bermula pada 29 November hingga 4 Disember depan.
Menurutnya, ia merupakan persidangan kali kelima diadakan oleh biro berkenaan dengan kali pertama pada 2013.
“Berkonsepkan persidangan ala Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas, peserta akan mencadang dan membahaskan usul berkaitan empat bidang utama iaitu politik, ekonomi, agama dan pendidikan.
“Tema bagi persidangan kali ini ialah Mahasiswa Ariktek Malaysia Alaf Baru,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ibrahim berkata, barisan anggota pentadbiran negara di kalangan menteri dan timbalan menteri serta pembuat dasar di pelbagai agensi dan organisasi akan hadir menyampaikan maklumat kepada peserta persidangan.
Katanya, menerusi persidangan itu peserta berpeluang untuk melontarkan pandangan dan kepelbagaian pemikiran secara ktreatif dan berkesan.
Sementara itu, Pengarah program berkenaan Shahar Abdullah, berkata, seramai enam orang peserta yang terdiri daripada (2) sayap Pemuda, (2) sayap puteri dan (2) Nasional akan dipilih untuk mewakili suara mahasiswa dalam sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlansung pada 5 hingga 9 Disember depan.
Ujarnya, peserta yang terpilih untuk mengikuti persidangan itu juga bukanlah diambil daripada Majlis Perwakilan Pelajar di universiti sebaliknya, mereka merupakan pelajar yang tercicir daripada kepimpinan di pusat pangajian mereka. – MalaysiaGazette