KUALA LUMPUR – Muhamad Ihsan Anwar anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia berikutan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri ke atas bapanya di Hospital Kuala Lumpur hari ini.
“Bagi pihak keluarga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas ziarah Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.
“Perdana Menteri dan isteri sempat menziarahi ayah kami, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sekarang sedang menjalani rawatan selepas pembedahan bahu, yang kecederaannya menjadi semakin parah akibat pemenjaraan dan kemalangan bulan lepas semasa dalam jagaan Kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Muhamad Ihsan turut memohon Kerajaan Malaysia mempertimbangkan agar bapanya diberi kebenaran menjalani rawatan perubatan di luar penjara selama mana yang diperlukan untuk sembuh sepenuhnya seperti yang dicadangkan oleh panel doktor yang merawatnya.
“Bagi pihak keluarga, izinkan saya melahirkan sepenuh penghargaan kepada pasukan pakar perubatan serta staf HKL beserta kakitangan penjara di atas rawatan dan pemulihan buat ayahanda kami,” katanya. – MalaysiaGazette