KUALA LUMPUR – Ketidakseimbangan dalam pasaran hartanah menimbulkan risiko ketara kepada pasaran keseluruhan sekiranya berlaku kejutan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, ketika pendedahan sektor kewangan bagi ruang ini berada dalam tahap yang selesa, kelebihan bekalan di sesetengah segmen ini boleh menyebabkan kesan limpahan negatif kepada ekonomi yang lebih luas.
Antara segmen pasaran hartanah itu ialah kondominium tinggi, ruang pejabat dan pusat beli-belah.
“Kami telah membangkitkan isu-isu ini lebih setahun, pendedahan sektor kewangan dalam perkara ini berada dalam tahap yang selesa, tetapi jika kita tidak berhati-hati lebihan bekalan akan memberi impak negatif kepada ekonomi,” katanya.
Muhammad menegaskan ketidakseimbangan bekalan-permintaan dalam pasaran hartanah telah meningkat sejak 2015, menunjukkan hartanah kediaman yang tidak dijual dalam sedekad, dengan majoriti unit tidak terjual berada dalam kategori berharga RM250,000 ke atas.
“Jumlah besar hartanah tidak terjual disebabkan ketidaksetaraan antara harga pelancaran baru dan kemampuan isi rumah,” katanya.
Untuk ruang pejabat, terdapat juga kadar kekosongan pejabat tingkat tinggi, terutamanya di Lembah Klang.
Menurut Muhammad, kadar kekosongan ruang pejabat di Lembah Klang dijangka mencapai paras tertinggi 32 peratus pada tahun 2021, jauh melebihi tahap yang dicatatkan semasa Krisis Kewangan Asia.
Begitu juga dengan ruang peruncitan yang dijangka menyaksikan 140 pusat beli-belah baharu yang akan memasuki pasaran merentasi kawasan utama seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
Ia dikhuatiri boleh memburukkan lagi lebihan penawaran.
Meskipun begitu, sistem perbankan masih menyokong pembiayaan perumahan terutamanya untuk pembeli rumah kali pertama.
Katanya, dalam sembilan bulan pertama tahun 2017, sejumlah RM121.6 bilion pinjaman perumahan baharu telah diluluskan oleh bank-bank, yang memberi manfaat kepada hampir 300,000 peminjam.
Daripada jumlah ini, 60 peratus adalah pembelian rumah berharga kurang daripada RM500,000. – MalaysiaGazette