CARDIFF – Selepas gagal membawa Wales ke Piala Dunia tahun depan, Chris Coleman akhirnya meletak jawatan selaku pengurus skuad kebangsaan itu berkuat kuasa serta-merta.
Bola Sepak Wales (FAW) mengesahkan perletakan Coleman yang menjadi pengurus Wales sejak tahun 2012.
Dia melalui zaman kemuncak sebagai pengurus apabila mengemudi pasukan itu mara ke separuh akhir Euro 2016, kejohanan utama pertama mereka sejak 1958.
Namun Wales berputih mata ke Piala Dunia tahun depan kerana tersingkir pada pusingan kelayakan Kumpulan D bulan lalu.
Bagaimanapun Coleman dijangka akan mengambil alih kerusi panas di Sunderland.
The Black Cats beraksi tanpa pengurus sejak pemecatan Simon Grayson bulan lalu selepas hanya memenangi satu daripada 16 perlawanan di pentas Liga Kejuaraan.
Ketua Eksekutif FAW, Jonathan Ford berkata mereka kecewa apabila khidmat Coleman terpaksa ditamatkan. – MalaysiaGazette