Home Dunia Senator mohon maaf raba pembaca berita

Senator mohon maaf raba pembaca berita

MINNESOTA – Seorang pembaca berita stesen radio mendakwa buah dadanya diraba seorang senator pada tahun 2006.

Agensi berita antarabangsa CNN melaporkan mangsa, Leann Tweeden berkata, senator terbabit Al Franken turut mencium mulutnya ketika dia sedang tidur semasa kejadian.

Pada masa itu, Leeann dan Franken terlibat dalam aktiviti jelajah Organisasi Servis Bersatu (USO) bersama angkatan tentera Amerika Syarikat dan keluarga tentera.

Leeann dari stesen TalkRadio 790 KABS di Los Angeles mendedahkan kejadian itu di laman syarikatnya, minggu ini.

“Anda mencium saya tanpa izin, memegang buah dada saya ketika saya sedang tidur dan orang rakam kelakuan anda,” kata Leean yang turut mendedahkan foto rakaman kejadian itu.

Laporan itu mengatakan pendedahan tersebut telah menyebabkan Franken berasa ’emosi’ dan tertekan.

Beliau juga mengeluarkan kenyataan permohonan maaf pendek, kelmarin.

Dalam kenyataannya, Franken mengatakan beliau tidak ingat mengenai kelakuannya ketika itu.

“Saya memohon maaf dengan ikhlas kepada Leeann. Mengenai foto itu, ia sepatutnya menjadi kelakar tetapi tidak. Saya tak sepatutnya berkelakuan sedemikian,” katanya.

Satu kenyataan permohonan maaf kedua turut dibuat dengan mengatakan beliau ‘tidak tahu apa yang berlaku dalam kepalanya’ ketika melakukannya.

Sementara itu, dalam satu sidang media, Leeann mengatakan beliau menerima permohonan maaf Franken.

“Tiada sebab saya tak terima permohonan maafnya. Saya tak minta apa-apa pun. Saya (juga) tidak minta dia letak jawatan (sebagai senator). Itu bukan hak saya,” katanya.

Bagaimanapun, Leeann tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu. – MalaysiaGazette