Home Nasional Mayat warga asing ditemui mati ditikam di Meru, awal pagi ini

Mayat warga asing ditemui mati ditikam di Meru, awal pagi ini

Asisten Superintendan Mazelan Paijan. foto SAFWAN MANSOR, 19 NOVEMBER 2017.
KLANG – Seorang lelaki warga asing ditemui mati dengan tikaman di bahagian dada, belakang, perut serta terdapat kesan kelar di pergelangan tangan dan calar kepala kira-kira jam 2 pagi tadi di Meru, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan yang mengesahkan kejadian terbabit berkata, hasil siasatan mendapati mangsa disyaki warga asing berdasarkan kesan perubatan dan rupa parasnya.
Mazelan berkata, pihak dimaklumkan oleh seorang penduduk yang melihat dua orang menaiki buah motosikal meninggalkan mayat berkenaan berhampiran kawasan perumahan di Jalan Kasban, Meru, di sini.

“Saksi ini telah ke Balai Polis Meru buat aduan dan kita telah pun menghantar satu pasukan untuk melihat tempat kejadian. Kami mendapati mayat ini adalah seorang lelaki warga asing dalam lingkungan umur 20-an.

“Mayat ini berbungkus dengan selimut, saya percaya suspek ini naik motosikal nak buang mayat di tempat lain, tetapi sudah jatuh di kawasan berkenaan.

“Mayat ditinggal di tempat kejadian selepas mereka menyedari ada orang nampak mereka cuba menyeret mayat naik motosikal semula,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Jambatan Ketiga di Teluk Pulai, di sini, hari ini.

Mazelan berkata, pihaknya masih dalam usaha mengesan suspek pembunuhan itu memandangkan saksi sukar mengecam pelaku dalam keadaan gelap.

“Saksi melarikan diri selepas suspek mengeluarkan parang ketika kelibat mereka diperhatikan dan mayat dibiarkan di tempat kejadian sebaik sahaja saksi kembali bersama penduduk lain,” katanya.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Mazelan berkata, pihaknya menghantar mayat mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini untuk dibedah siasat.

“Pagi ini kita sudah hantar mayat ini ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat

“Punca kematian kita belum tahu lagi, jadi kita tunggu bedah siasat itu selesai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.