Home Korporat Persona, Saga pacu lonjakan jualan Proton

Persona, Saga pacu lonjakan jualan Proton

Proton

KUALA LUMPUR – Proton Holdings Berhad merekodkan lonjakan jualan sebanyak 13 peratus pada Oktober 2017 kepada 5,083 unit berbanding 4,498 unit pada bulan sebelumnya.

Sepanjang 10 bulan pertama tahun ini, Proton turut mencatatkan peningkatan sebanyak 6 peratus jualan kepada 61,380 unit berbanding 57,734 unit kereta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Proton dalam kenyataannya berkata, model Saga dan Persona adalah pilihan yang paling popular dan terus menguasai trend ini.

Kedua-dua model itu menyumbang 70 peratus kepada keseluruhan jualan kereta dengan Saga merekodkan jualan 26,343 buah dan Persona 16,833 buah.

Katanya, Persona menyaksikan kenaikan 57.5 peratus tahun ini dengan 16,833 buah dijual berbanding 10,687 unit dalam tempoh yang sama tahun 2016.

“Evolusi generasi baru Persona menarik perhatian kerana model itu bukan sahaja berwajah yang baru, juga mempunyai ruang boot yang besar, menjadikannya pilihan popular dalam kalangan pelanggan yang pelbagai,” kata Proton. – MalaysiaGazette