KUALA LUMPUR – Susulan kontroversi larangan pemakaian tudung ke atas pekerja wanita Islam di hotel baru-baru ini, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin melahirkan rasa geram tidak berpuas hati dengan langkah tersebut.
Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Kinabatangan itu menggesa supaya Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil langkah tegas terhadap pengusaha hotel bagi menangani isu itu daripada berulang lagi.
“Saya betul geram dalam soal ini sebab negara kita cukup makmur dengan masyarakat majmuk dan berbilang kaum, tetapi jika agama rasmi tu sudah dinafikan haknya bermakna peraturan sedia ada adalah longgar.
“Oleh kerana itu saya mengesyorkan supaya kerajaan melihat perkara ini secara serius dan bawa dalam dewan untuk kita gubal, kita ubah, kita undi,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.
Bung juga membidas pengusaha hotel supaya tidak hanya memikirkan keuntungan sehingga mengabaikan sensitiviti agama di Malaysia.
“Jangan nak mengaut keuntungan sahaja, jika datang ke negera kita, mereka kena ikut peraturan,” katanya. – MalaysiaGazette