KUALA LUMPUR – Sistem pendidikan vokasional negara yang baik berjaya melahirkan pelajar berkualiti dan ini terbukti apabila ramai lepasan pelajar mendapat kerja dalam industri, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan.
Kamalanathan berkata, hampir 90 peratus pelajar vokasional pada 2016 berjaya mendapat kerja dalam industri mengikut kemahiran masing-masing dan setakat 2017 pula sudah 65 peratus daripada mereka sudah bekerja, sekali gus menunjukkan kualiti yang baik dihasilkan daripada sistem pendidikan yang disediakan kerajaan.
“Pada tahun 2016, daripada pelajar vokasional yang telah habis belajar hampir 90 peratus pelajar telah pun kerja dan setakat ini belum habis 2017, seramai 65 peratus pelajar sudah mula bekerja.
“Maksudnya, kualiti yang kita beri kepada pelajar vokasional cukup baik dan diterima oleh industri,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya, selain menyediakan sistem pendidikan yang baik, kementerian juga menyediakan banyak pendedahan kepada pelajar vokasional seperti membantu penempatan lepasan pelajar dalam industri.
“Dalam sistem pendidikan vokasional, kita ada pelbagai pendedahan, pertama dari segi akademik dan kita ada satu lagi sistem dimana kita penempatan mereka di industri.
“Itu hala tuju kepada pelajar vokasional di mana kita ingin lihat mereka dapat pendidikan dan pada masa sama ada pengalaman dan selepas itu mereka dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik,” ujarnya.
Menurut Kamalanathan, negara tidak boleh lagi bergantung kepada tenaga kerja mahir dari luar negara.
“Saya secara peribadi berpandangan sebagai sebuah negara maju kita tidak boleh bergantung kepada pekerja mahir luar negara, ini sebabnya PM meletakkan bajet yang cukup baik untuk kita laksanakan program TVET ini secara cepat,” ujarnya.
Najib pada September lalu menggariskan beberapa inisiatif untuk mentransformasikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini, termasuk membangunkan pelan induk yang komprehensif atau TVET Masterplan.
Beliau berkata, pelan induk itu bakal diselaraskan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan dibantu kementerian lain yang berkaitan dengan TVET seperti Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan.
Bagi inisiatif kedua, perdana menteri berkata, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta daripada 30 peratus dana terkumpul Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB) bagi tujuan TVET. – MalaysiaGazette