KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak akan menggunakan pengaruh dan kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi mempengaruhi proses pendaftaran Pakatan Harapan (PH) untuk menggunakan satu logo pada PRU-14 akan datang.
Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sentiasa profesional menguruskan permohonan yang dibuat oleh wakil daripada parti-parti dalam PH itu.
“Dalam perkara berkenaan, saya yakin Kementerian Dalam Negeri (KDN) sangat berlapang dada untuk bertemu walaupun perkara perjumpaan itu yang diadakan oleh jawatankuasa penaja parti PPBM.
“Kita terima kasih kerana ROS bertindak profesional kerana soal berkenaan melibatkan hal operasi. Maka, biar pun ROS bawah KDN tetapi saya tidak letak tangan saya dalam mereka membuat cadangan untuk menerima atau sebaliknya terhadap permohonan PH,” katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat hari ini.
Hari ini, Pengerusi PPBM, Tun Mahathir Mohamad bersama beberapa pemimpin PH termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Wan Azizah dan Datuk Saifuddin Abdullah mengadakan pertemuan dengan KDN yang diwakili oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim.
Ia berkenaan permohonan agar ROS membenarkan PH menggunakan satu logo pada PRU yang akan datang.
Bagaimanapun, ROS tidak dapat meluluskan permohonan tersebut ketika ini berikutan terdapat dua perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh pihak PH.
Menurut Ahmad Zahid, laporan penuh berkenaan pemilihan CEC DAP yang diadakan baru-baru ini masih belum diterima oleh pihak ROS menyebabkan permohonan tersebut tidak dapat diproses berikutan DAP juga merupakan salah satu parti dalam PH.
“Buat masa ini permohonan PH belum dapat diluluskan memandangkan beberapa perkara belum dapat diselesaikan mereka sendiri. Tun Mahathir meminta ROS memaklumkan kepada mereka jika terdapat ketidakaturan atas permohonan yang dikemukakan agar PH boleh buat pembetulan.
“ROS berpendapat bahawa isu pemilihan CEC DAP sebagai salah satu pihak yang merupakan pemohon (dalam) PH masih belum selesaikan sepenuhnya laporan pemilihan semula CEC DAP.
“Oleh itu ROS juga belum terima laporan akhir dan senarai CEC terkini selepas pemilihan semula,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid, faktor kedua penangguhan permohonan itu pula adalah disebabkan oleh PPBM yang masih belum mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti mereka.
“Kedua, PPBM, kegagalan buat AGM dan mereka juga telah memohon pindaan perlembagaan yg masih belum diluluskan.”
Terdahulu, Mahathir mengetuai rombongan pemimpin PH dengan KDN bagi mengetahui status pendaftaran gabungan itu yang masih belum diluluskan ROS. – MalaysiaGazette
Kami kecewa tak dapat jumpa Menteri – Tun M