KUALA LUMPUR – Sekolah aliran Inggeris perlu diwujudkan semula di negara ini bagi mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar agar mereka mampu bersaing dalam dunia yang penuh cabaran pada masa akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Katanya, sebagai bahasa perantara di peringkat antarabangsa, individu yang menguasai bahasa Inggeris akan mempunyai kelebihan berbanding mereka yang tidak menguasainya, apatah lagi dalam kepesatan teknologi yang kebanyakannya berasaskan kepada bahasa itu.
“Saya percaya sekolah (aliran) Inggeris perlu ditubuhkan di negara ini kerana kita ada sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, sekolah swasta, sekolah agama, sekolah antarabangsa dan macam-macam sekolah jadi apa salahnya kita ada sekolah (aliran) Inggeris.
“Malaysia satu ketika dahulu dianggap satu negara yang mempunyai kefasihan bahasa Inggeris yang tinggi, tapi sekarang ini banyak pihak yang memperkatakan bahawa graduan kita tidak menguasai bahasa Inggeris,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Masa Depan Pekerjaan, Tempat Kerja dan Tenaga Kerja di sini hari ini.
Katanya, bagi merealisasikan idea itu semua pihak termasuk pemimpin politik, badan bukan kerajaan, Persatuan Ibu bapa dan Guru serta anggota akademik perlu membincangkan perkara itu secara holistik tanpa menjadikannya polemik politik.
Abdul Rahman berkata, pengwujudan sekolah aliran Inggeris juga dilihat sebagai satu daripada langkah yang dapat menyediakan pelajar yang ada hari ini dengan kepakaran dan kapasiti yang sesuai untuk menjadi tenaga kerja yang mampu menghadapi perkembangan teknologi pada masa akan datang.
“Banyak kajian yang telah dibuat yang mendapati bahawa pekerja di masa akan datang akan berdepan cabaran cukup hebat kalau mereka tidak memiliki kepakaran dan kapasiti yang bersesuaian untuk berhadapan dengan teknologi baharu yang akan mengambil alih banyak kerja-kerja manusia,” katanya.
Katanya, sebagai persediaan ke arah itu, agensi kerajaan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) telah diberi mandat untuk merangka tindakan bagi mengenal pasti kaedah bagaimana pelajar dan graduan yang berkemahiran dan mempunyai kapasiti tersebut dapat dihasilkan.
Terdahulu dalam ucaptamanya, Abdul Rahman berkata, teknologi yang berkembang pesat dijangka memacu gangguan digital dalam setiap industri di negara ini dan berpotensi menyebabkan lebih banyak pekerjaan akan berdepan risiko ‘digantikan’.
Beliau berkata, berdasarkan hasil dapatan kertas kerja terbaru Khazanah Research Institute, sebanyak 54 peratus pekerjaan di Malaysia berisiko tinggi digantikan akibat gangguan teknologi menjelang dua dekad akan datang.
“Dari segi tahap kemahiran, lebih 70 peratus pekerja kemahiran sederhana dan 80 peratus pekerja kemahiran rendah bagi semua sektor ekonomi utama adalah berisiko tinggi.
“Secara kritikal, rakyat Malaysia yang mungkin paling terjejas oleh perpindahan teknologi, memandangkan 90 peratus pekerjaan kemahiran sederhana dikuasai rakyat Malaysia,” katanya.
Persidangan sehari itu dianjurkan TalentCorp yang bertujuan membincangkan cabaran pekerjaan, tempat kerja dan tenaga kerja sejajar dengan perkembangan teknologi serta persediaan menghadapi pekerjaan masa depan. – Bernama