Home Nasional Azmin tersasul sebut Zakir Naik

Azmin tersasul sebut Zakir Naik

Mohamed Azmin menghadap Sultan Selangor hari ini untuk mendapat perkenan menubuhkan kerajaan negeri.
Mohamed Azmin menghadap Sultan Selangor hari ini untuk mendapat perkenan menubuhkan kerajaan negeri.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali memulakan sesi pagi sidang Dewan Rakyat sedikit berbeza hari ini.

Beliau yang bangun mencelah sesi pertanyaan menteri (MTQ) pertama hari ini tersasul dalam menyebut nama penceramah, Dr. Zakir Naik yang dihambat kontorversi.

Azmin dilihat cuba bertanyakan mengenai konsep wasatiyyah yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak namun dakwa beliau, prinsip itu tidak mengambil berat mengenai isu-isu berkaitan agama yang timbul baru-baru ini.

“Saya ingin bertanya kepada menteri dimanakah keberkesanannya prinsip wasatiyyah di dalam pentadbiran Putrajaya apabila kita melihat isu ‘dobi hanya untuk muslim’, tindakan penceramah Jakim seperti Dr. Zamihan Mat Zin yang menghina kedaulatan raja-raja Melayu dan mengambil pendekatan perkauman.

“Kita juga melihat bahawa isu melarang wanita bertudung untuk berkhidmat di hotel-hotel. Jadi dimanakah keberkesanan wasatiyyah sedangkan insiden ini mendapat dokongan daripada pimpinan negara. Seperti Dr. Za*** Naik (sambil membetulkan Zakir Naik) mendapat dokongan daripada Timbalan Perdana Menteri. Jadi saya minta penjelasan menteri?,” soal Ahli Parlimen Gombak itu.

Menjawab pertanyaan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, prinsip wasatiyyah yang dilaksanakan pemerintahan Najib adalah kayu pengukur samada kerajaan berada pada landasan yang betul dalam melaksanakan konsep maqasid syariah.

Jelas Jamil Khir, kepelbagaian agama dan etnik di negara ini merupakan indikasi penting samada prinsip wasatiyyah ini boleh menjalar pada semua masyarakat.

Namun secara saintifiknya kita tidak hanya melihat kepada insiden yang berlaku tetapi kayu pengukur yang dilakukan kerajaan menggunakan prinsip wasatiyyah dalam masa yang saya melaksanakan maksud maqasid syariah.

“Kita ada satu lagi yang dipanggil Indeks Syariah Malaysia (ISM) adalah merupakan kayu pengukur dimana kejayaan yang telah kita capai.

“Melalui ISM kita mengukur kementerian yang telah melaksanakan hal-hal yang menjadi tanggungjawab maqasid syariah dalam pendekatan mengikut wasatiyyah, maka kita telah mencapai satu indeks yang diukur dengan begitu selesa dan pengukur ini menggunakan kayu ukur yang telah ditetapkan mereka di mana lebih 100 profesor dan lebih lapan universiti yang terlibat,” jawab Jamil Khir.

Jamil Khir sebelum ini menjawab pertanyaan MQT daripada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid yang bersetuju prinsip wasatiyyah yang diperkenalkan Putrajaya semakin dikenali dan berkembang. -MalaysiaGazette