Home Seni Hidup Dari pereka fesyen ke usahawan kosmetik

Dari pereka fesyen ke usahawan kosmetik

Pengasas Produk I Am DNM, Datuk Nadia Marni Mat Zin (tengah) bersama Artis, Ifa Raziah (kanan) dan Bella Astillah (kiri) bergambar dengan produk I Am DNM pada Majlis Pelancaran Produk Kosmetik I Am DNM di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 20 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Lima tahun berkecimpung dalam bidang fesyen belum cukup memberikan Datuk Nadia Marni Mat Zin kepuasan untuk terus melebarkan sayap perniagaannya ke satu tahap yang baharu iaitu kosmetik dan kecantikan.

Jenama IamDNM menjadi ‘buah tangan’ terbaharu usahawan fesyen terkenal ini melalui pengenalan koleksi alat solekan merangkumi pemerah pipi, palet pembayang mata, dan gincu khusus buat penggemar kecantikan yang mencari produk berkualiti tinggi namun dalam harga yang sangat berpatutan.

“Solekan merupakan sesuatu yang sentiasa menjadi kesukaan saya, siapa yang kenal akan nama Nadia Marni pasti tahu bagaimana saya dan solekan tidak dapat dipisahkan. Saya akan memastikan sekurang-kurangnya mekap asas seperti gincu, pemerah pipi dan pembayang mata ‘dicalit’ pada wajah jika keluar dari rumah”.

“Jadi tiada apa yang lebih menggembirakan saya untuk memulakan perniagaan ini, yang pastinya memberi saya cabaran baharu dan saya sedia bersaing dengan jenama-jenama tempatan yang lain,” katanya dalam majlis pelancaran kosmetik IamDNM di Hotel Mandarin Oriental, di sini semalam.

Pengasas Produk I Am DNM, Datuk Nadia Marni Mat Zin bercakap ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Produk Kosmetik I Am DNM di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 20 NOVEMBER 2017

Membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama hampir setahun sebelum tampil dengan produk-produk tersebut, beliau mahu produknya dikenali sebagai alat solekan berkualiti tinggi yang setaraf dengan jenama-jenama antarabangsa.

Beliau sendiri merupakan peminat solekan jenama terkemuka, Tom Ford, Charlotte Tilbury dan Illa Masqua jadi setiap produk yang dihasilkannya mengambil inspirasi daripada jenama-jenama tersebut dari segi pemilihan warna dan tekstur produk.

Diformulasikan dari Itali, IamDNM pastinya mempunyai kelebihan dan keistimewaannya tersendiri bagi memberi kelainan kepada pengguna.

Berdasarkan rumusan dan teknologi solekan terkini, penggunakan solekan daripada jenama IamDNM mampu bertahan lama serta memberikan tekstur ‘highly pigmented’ yang mana warna yang terhasil lebih pekat dan mudah digunakan.

IamDNM kini bekerjasama dengan jurusolek terkenal, Rozlan Nassir bagi memperkenalkan produk-produk IamDNM melalui solekan yang dilakukan.

Bakal menembusi pasaran luar tidak lama lagi, beberapa rakan niaga kosmetik Datuk Nadia Marni dari London, New York, Australia, dan Lebanon telah menunjukkan minat untuk memasarkan rangkaian produk IamDNM di sana.

Koleksi peringkat pertama produk IamDNM menampilkan himpunan solekan berasaskan warna nude yang mampu menyerlahkan kesegaran wajah dan tidak keterlaluan menjadikan wajah kelihatan lebih lembut.

Untuk pemerah pipi, IamDNM menawarkan dua warna yang diberikan kod nama Baby Pinky dan Bella Peachy. Buat mereka yang gemarkan solekan yang ‘manis’ dan ceria, Baby Pinky merupakan pilihan yang sesuai namun jika mahukan penampilan yang lebih muda, Bella Peachy mampu menyerlahkan warna pipi anda secara semula jadi.

Palet pembayang mata pul9a ditawarkan dalam dua palet yang diberikan kod nama Rona Pallette dan Luna Pallette yang mana setiap satunya mempunyai tiga pilihan warna berlainan dengan tekstur matte dan satin (sedikit kilatan).

Sesuai untuk semua warna kulit, Rona Pallette sempurna untuk solekan yang ringkas yang romantis untuk keluar bersama orang tersayang manakala Luna Pallette pula menyerlahkan solekan seksi dan penuh menggoda dengan pilihan warna-warna yang ‘garang’.

Bagi koleksi gincu pula, terdapat tiga warna ditawarkan yang diberikan kod nama I’m In Love (peach), Missing You (nude) dan Marry Me (pink) yang menampilkan kemasan matte yang lembap memudahkan penggunaannya dan tidak mengeringkan bibir si pemakai.

Pada masa akan datang, IamDNM akan menambah lagi produk-produk solekan yang lain dan buat masa ini, pihaknya akan memfokuskan dahulu pada tiga produk ini.

Dijual pada harga berpatutan, pemerah pipi berharga RM50, palet pembayang mata (RM60) dan set  tiga gincu (RM130) koleksi IamDNM boleh dibeli secara online di Instagram @iamdnmofficial atau menghubungi talian 018-3298859.

IamDNM kini sedang mencari agen dan stokis yang berminat untuk memasarkan produk mereka dan mahu memberi peluang kepada usahawan yang mahu menjana pendapatan sampingan. – MalaysiaGazette