Home Nasional Doktor Klinik Kesihatan jangan tolak pesakit ke swasta – Subramaniam

Doktor Klinik Kesihatan jangan tolak pesakit ke swasta – Subramaniam

S. Subramaniam

PETALING JAYA – Para doktor yang berkhidmat di Klinik Kesihatan tidak seharusnya merujuk pesakit mereka kepada klinik swasta untuk mendapatkan bekalan perubatan seperti antibiotik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Subramaniam berkata, tindakan sedemikian adalah tidak betul dan perlu melayan pesakit dengan adil.

“Isu doktor menghantar pesakit mendapatkan preskripsi ubat di klinik swasta tidak seharusnya berlaku, kita sedar akan perkembangan itu tetapi ia mungkin berlaku di beberapa tempat sahaja.

“Dalam perkembangan berkaitan kami telah mendidik pengamal perubatan kami, dan usaha itu akan terus dilaksanakan supaya khidmat perubatan yang sangat diperlukan untuk pesakit semestinya disediakan tanpa alasan,”katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis perasmian Simposium Bioperubatan Cambridge Oxford-Sunway ke-2 anjuran Universiti Sunway yang turut dihadiri Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah di Bandar Sunway di sini.

Sementara itu, Subramaniam mengakui terdapat kekurangan bekalan antibiotik di beberapa Klinik Kesihatan.

“Kami (kementerian) mengakui sememangnya terdapat kekurangan bekalan aintibiotik di beberapa Klinik Kesihatan dan sedang mencari jalan untuk melaksanakan langkah mengelak isu seumpama berulang lagi.

“Ia tidak sepatutnya dijadikan isu besar (kekurangan antibiotik) dan disensasikan.

“Ia seharusnya boleh diselesaikan jika doktor di insititusi kerajaan bekerjasama antara satu sama lain dalam isu kekurangan antibiotik.

“Mereka (doktor) boleh merujuk pesakit kepada klinik kesihatan lain sekiranya berlaku kekurangan bekalan antiobiotik,” ujarnya. – MalaysiaGazette