KUALA LUMPUR – Strategi politik dan pemasaran adalah dua perkara berbeza namun mempunyai matlamat sama, malah pendekatan itu kini perlu diguna pakai oleh pemimpin serta jentera UMNO untuk memenangi hati rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, jika pemimpin UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) masih menggunakan ‘cara lama’ di bawah kepimpinan terdahulu, rakyat akan terus meminggirkannya.
“Bagi kami strategi politik dan strategi pemasaran adalah sama. Kalau kita tidak ikut kehendak mereka (rakyat dan golongan muda), kita akan gagal.
“Oleh itu kita kena ikut teori yang sama. Mendekati masalah rakyat menjadi keutamaan kami di Ampang. Kalau kita tak buat begitu, kami tidak dipandang dan ada banyak perkara yang kita dekati pengundi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, baru-baru ini.
Ismail berkata, sehingga kini, UMNO Bahagian Ampang berjaya mendaftarkan lebih 18,000 anak muda sebagai pengundi baharu di Parlimen kawasan itu sejak 2013.
“Pengundi ini bukan saja daftar tetapi kami ada satu cara bagaimana mendekati mereka. Antaranya kami mengucapkan tahniah melalui surat dan juga mesej aplikasi Whatsapp.
“Ucapan tahniah kami kerana mereka telah mendaftar sebagai pengundi, itu saja,” ulasnya.
Beliau juga berkata, UMNO Bahagian Ampang tidak pernah menggunakan pendekatan politik dan tiada langsung cubaan mempengaruhi mereka untuk menyokong parti pemerintah itu dalam mana-mana program yang dianjurkan.
“Kami mengadakan perjumpaan sekecil-kecilnya dalam 50 orang macam ‘Town Hall’ dan kami tidak pernah bercakap pasal politik, kami tak pernah bercerita nak mempengaruhi mereka
“Tapi kami bercerita apakah masalah dan perkara yang dihadapi mereka untuk membantu kehidupan mereka,” katanya.
Katanya lagi, kekalahan dua kali BN dalam pilihan raya umum sejak 2008 banyak mengajar UMNO Bahagian Ampang betapa pentingnya berdamping dan mendekati rakyat khususnya golongan muda.
“Kami di Ampang sudah letakkan ‘mindset’ siapa saja yang akan bertanding, kita akan lawan.
“Kita ada pengalaman kalah dua kali dalam pilihan raya umum lalu di Ampang, dengan kekalahan dua kali ini banyak mengajar kita terutama kita bukan saja dalam retorik saja tapi kita siap dengan prasarana,” katanya. – MalaysiaGazette