BUENOS AIRES – Kapal selam tentera laut Argentina, ARA San Juan yang hilang sejak Rabu lalu mengalami masalah mekanikal dalam komunikasi terakhirnya.
Kapal selam dengan 44 anak kapal, hilang di 430 kilometer (270 batu) dari pantai Argentina.
“Kapal itu timbul dan ia melaporkan kerosakan,” kata komander tentera laut, Gabriel Galeazzi.
Tentera laut Argentina juga sedang menyiasat bunyi “bising” yang dikesan oleh dua kapal yang terlibat dalam pencarian itu.
“Bunyi itu direkodkan dan pada masa ini sedang diproses untuk menentukan akustiknya,” kata jurucakap Enrique Balbi dalam satu kenyataan yang dipetik akhbar Clarin.
Kapten Galeazzi, yang mengetuai pangkalan tentera laut di Mar del Plata, selatan Buenos Aires membaklumkan masalah yang dilaporkan sebelum ini berkaitan dengan “litar pintas” di dalam sub bateri.
Salah seorang saudara anak kapal sebelum ini memberitahu media tempatan bahawa dalam mesej terakhir dengan adiknya dimaklumkan bahawa kapal itu menghadapi masalah dengan baterinya.
Bagaimanapun, Kapten Galeazzi berkata, masalah mekanikal bukan tidak biasa dan jarang menimbulkan risiko.
“Kapal perang itu memiliki banyak sistem tambahan yang membolehkan ia bergerak apabila timbul masalah,” katanya.
Panglima tentera laut berkata, kapal selam itu telah diminta untuk memendekkan misinya, yang pada awalnya akan berlangsung hingga Isnin dan bergerak ke Mar del Plata.
Menurut media tempatan, kapten ARA San Juan menghubungi pangkalan tentera laut semula setelah melaporkan berlaku masalah mekanik.
Dalam mesej itu, dia dilaporkan berkata, kapal selam itu menuju ke Mar del Plata dengan kesemua 44 anak kapal dalam kesihatan yang sempurna. – MalaysiaGazette