HULU KELANG – Seorang individu yang mendakwa sebagai pengawal keselamatan di tapak projek Melawati Residensi yang didakwa terbengkalai membuat kecoh sehingga berlaku pertikaman lidah antara Pengerusi Persatuan Penduduk Zon ABC, Razman Hakimi Abdullah dan pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.
Kekecohan itu berlarutan sehingga menyebabkan polis terpaksa campur tangan dan meredakan ketegangan antara kedua-dua pihak.
Terdahulu, Razman dan Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard membawa media ke tapak projek terbengkalai di Taman Melawati yang berada dalam kawasan Parlimen Gombak yang mana wakil rakyatnya adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ketika sidang media berlangsung, tiba-tiba pengawal di tapak projek itu datang lalu menyergah Razman dan Badrul Hisham akibat tidak berpuas hati kerana membawa pihak media untuk membuat liputan di depan tapak projek.
“Sebelum ini, semasa September penduduk sudah bertanya kepada MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) tentang projek ini, apa masalah ini sudah berhenti.
“Pada bulan Oktober, saya sudah bertanya kepada Timbalan Pengarah Kejuruteraan MPAJ, Encik Khairul, dia beritahu kepada saya projek ini akan bermula balik bulan depan dan kemudiaan kata pada Januari pula,” kata Razman semasa sidang media hari ini.
Razman melahirkan kebimbangan apabila projek tersebut yang sudah bermula sejak tahun lalu itu terhenti, malahan semasa berada di tapak projek tidak nampak pekerja binaan melakukan kerja-kerja pembinaan.
Selain itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada pemaju, TSA Land berhubung projek tersebut juga gagal walaupun sudah meninggalkan nombor telefonnya kepada kerani di pejabat galeri kediaman itu.
“Saya sudah buat panggilan kepada TSA Land tidak ada jawapan, saya ke pejabat dan juga tidak ada jawapan… tapi mereka (pemaju) masih menjual unit, mereka menjual unit kepada projek yang sudah terhenti empat bulan,” katanya.
Menurut Razman, kebimbangan penduduk di Taman Melawati adalah sekiranya projek tersebut terbengkalai dan ia bakal mengundang kesan buruk kepada penduduk setempat seperti isu kesihatan dan denggi yang sememangnya diketahui terdapat banyak kes di kawasan tersebut.
“Penduduk di sini berasa risau, kalau projek ini terbengkalai, maksudnya 18 ekar tanah yang sudah ditutup apa akan jadi kepada tanah itu…ini kita cuba bangkitkan,” katanya.
Projek bangunan kediaman itu melibatkan lebih 20 tingkat dan dibina di kawasan seluas 18 ekar yang dahulu adalah sebuah rumah kelab, Century Paradise Country Club atau KK Club.
Lokasi projek itu kurang 30 meter dari laluan masuk ke taman perumahan Zon C, Taman Melawati. – MalaysiaGazette