Home Politik Tidak mungkin KDN sabotaj pendaftaran PH – Shahidan

Tidak mungkin KDN sabotaj pendaftaran PH – Shahidan

Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak harus dipersalahkan dalam pendaftaran Pakatan Harapan (PH) dibawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata,  tidak mungkin KDN bertindak untuk melambat-lambatkan kelulusan gabungan PH kerana kuasa itu terletak dibawah kuasa RoS.

“Tidak mungkin KDN buat kerja-kerja itu.

“Pada saya mereka (RoS) adalah badan profesional (dalam memberi kelulusan kepada sebuah parti). Jadi mereka tidak perlu risau,” katanya di perkarangan Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Pengerusi PH Tun Dr. Mahathir Mohamad dan barisan kepimpinannya gagal menemui bagi membincangkan status pendaftaran PH sebagai gabungan parti politik yang sah.

Dr. Mahathir tiba di kementerian tersebut pada pukul 10.47 pagi bersama, Presiden PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai.

Semalam, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku menteri KDN berkata kementeriannya tidak pernah campur tangan dalam urusan pendaftaran gabungan PH.

Malah menurut Timbalan Perdana Menteri itu, perkara berkenaan tertakluk sepenuhnya kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Biar pun RoS dibawah KDN tetapi saya tidak meletakkan tangan saya dalam mereka membuat cadangan untuk menerima atau sebaliknya terhadap permohonan Pakatan Harapan,” kata Ahmad Zahid dalam sidang media di Parlimen semalam.

Mengulas mengenai itu, Shahidan berkata, Tun Mahathir selaku bekas perdana menteri perlu faham bahawa isu kelulusan gabungan itu adalah di bawah kuasa RoS dan bukannya KDN.

PH sebelum ini mengemukakan permohonan pendaftaran gabungan itu kepada RoS pada 24 Julai lalu. -MalaysiaGazette.