Home Ekonomi Powell mampu teraju Rizab Persekutuan

Powell mampu teraju Rizab Persekutuan

Janet Yellen. foto Agensi

WASHINGTON – Janet Yellen akan meninggalkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada Februari tahun depan selepas penggantinya, Jerome Powell mengangkat sumpah.

Pengganti Pengerusi Rizab Persekutuan dilantik selepas Presiden Donald Trump melanggar tradisi untuk menggantikan Yellen berbanding melakukan pelantikan semula untuk empat tahun lagi.

Powell yang dilantik menggantikan Yellen adalah Gabenor Rizab Persekutuan.

Tempoh perlantikan Yellen sebagai pengerusi tamat pada bulan Februari tetapi kedudukannya di Dewan Gabenor sehingga tahun 2024.

Dalam surat peletakan jawatannya kepada Trump, Yellen berkata, beliau gembira dengan pemulihan berterusan ekonomi Amerika Syarikat daripada Kemelesetan Besar 2008 hingga 2009.

Beliau juga menyatakan kesan positif pembaharuan kewangan yang berlaku selepas krisis kewangan global, yang mana pentadbiran Trump telah bergerak untuk mengurangkannya.

“Saya gembira kerana sistem kewangan jauh lebih kuat daripada satu dekad yang lalu, lebih berdaya tahan untuk ketidakstabilan masa depan dan terus menyokong aspirasi ekonomi dan perniagaan Amerika,” kata Yellen.

Yellen yakin Powell akan menjalankan misi Rizab Persekutuan dan menyifatkan penggantinya sebagai calon kesinambungan – tidak mungkin menaikkan kadar dengan cepat dan melemahkan pengembangan ekonomi. – MalaysiaGazette