KUALA LUMPUR – Gara-gara menyertai program Gegar Vaganza musim keempat (GV4), kumpulan Kristal akan merehatkan vokalis mereka, Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, sehingga pengumuman baharu dilakukan dalam masa terdekat.
Kenyataan itu dibuat gitaris Kristal, Rody menerusi status di laman sosial Instagramnya, semalam.
Rody, berkata keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan nasihat orang lama, sekali gus membolehkan mereka mengadakan uji bakat mencari penyanyi baharu
“Insya-Allah pengumuman akan dibuat. Semoga Lan berjaya dengan hajatnya mahu menjadi penyanyi solo. Takkan nak biarkan Kristal diam tanpa penyanyi dan nanti kami tiada ‘show’ pula,” katanya menerusi status di laman sosial peribadinya, semalam.
Difahamkan, entri berkenaan dikongsi Rody bagi mewakili anggota Kristal yang lain selepas vokalis berusia 32 tahun itu menyatakan mahu mengembangkan kerjaya solo, selain enggan tertumpu pada genre rock saja.
Lan juga didakwa membelakangkan anggota lain apabila menyertai pertandingan Gegar Vaganza (GV) musim empat yang kini sedang berlangsung tanpa berbincang terlebih dulu dengan mereka.
Selain Lan dan Rody atau nama sebenarnya Muhamad Rodi Baharudin, kumpulan yang ditubuhkan sejak 1999 itu turut membariskan Mohd Nur Asraf Baharuddin (Asraf) dan Muhammad Afifi Nor Mohammad (Afifi). – MalaysiaGazette