Home Ekonomi Pembekuan projek rumah, pusat beli belah RM1j beri pelbagai impak

Pembekuan projek rumah, pusat beli belah RM1j beri pelbagai impak

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berucap pada Forum Property Outlook 2018 di UOA Corporate Tower, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pembekuan projek kediaman mewah berharga RM1 juta serta pusat membeli-belah oleh kerajaan baru-baru ini mempunyai pelbagai impak mengikut displin masing-masing.

Namun menurut Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, sekiranya ia bertujuan untuk mengatasi lebihan bekalan, langkah tersebut adalah yang terbaik meskipun mungkin menjejaskan pernilaian tanah pada masa hadapan.

“Sukar untuk menjawab kerana kami tidak diberikan penerangan secara terperinci mengenai langkah tersebut.

“Tetapi ia mempunyai pelbagai kesan mengikut perspektif masing-masing,” katanya semasa pelancaran Laporan Tinjauan Hartanah PropertyGuru 2018 dan Forum di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Jones Lang Wotton, Prem Kumar berkata, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak data mengenai situasi semasa pasaran hartanah bagi memudahkan semua pihak seperti pemaju, perunding dan pembeli membuat keputusan.

“Kita perlu sentiasa mengumpul data dari pelbagai perspektif iaitu dari pandangan kerajaan, pemaju dan pembeli.

“Jika tidak, selama-lamanya pemaju akan mengatakan mereka boleh membina rumah dan menjualnya.

“Kita tidak ada statistik berapa ramai golongan pembeli B40, M40 dan sebagainya cuma apa yang kita nampak sekarang memang berlakunya lebihan bekalan.

“Tetapi kita tidak tahu berapa teruk situasi ini akan berlaku.

“Jika ditanya secara khusus, tiada siapa yang mempunyai bola kristal yang boleh meramal masa hadapan tetapi data-data tersebut amat membantu kita merencana program yang sepatutnya,” katanya semasa menjadi salah seorang panel dalam forum berkenaan.

Jelas Prem, kerajaan juga jangan terlalu cepat percaya kepada kata-kata pemaju kerana di Malaysia tiada akta yang menghalang sesiapa memberi maklumat palsu.

“Kerajaan kena kawal perkara ini. Bukan mengawal pasaran tetapi mengawal kenyataan-kenyataan yang dibuat kepada umum.

“Disebabkan inilah data-data yang lengkap diperlukan untuk pengetahuan umum,” katanya.

Menurut Prem, buat masa ini pasaran hartanah di negara ini tidak membimbangkan kerana permintaan sentiasa ada seiring dengan perkembangan populasi.

Namun begitu, tiada data berkenaan profil permintaan.

“Mesej kepada pemaju adalah ringkas. Bina apa yang pasaran mahu beli,” tegasnya. -MalaysiaGazette