Home Nasional Undi belah bahagi: Pembangkang sengaja perangkap ahli Parlimen BN

Undi belah bahagi: Pembangkang sengaja perangkap ahli Parlimen BN

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim
KUALA LUMPUR – Tindakan ahli Parlimen pembangkang memohon proses undian belah bahagi ketika pengundian Rang Undang-Undang kerajaan pada Isnin lalu hanya bertujuan memerangkap ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, ketika proses pengundian itu, kebanyakan ahli-ahli Parlimen BN sedang menunaikan solat dan ia sesuatu yang tidak adil.

“Betapa terdesaknya pihak pembangkang untuk menjejaskan imej Malaysia dan memerangkap ahli-ahli Parlimen BN yang ketika waktu undi itu ada di antara mereka menunaikan solat.

“Ada pelbagai agenda tersembunyi iaitu menggunakan elemen belah bahagi walhal elemen itu biasanya dilakukan melibatkan undian berdasarkan rang undang-undang di peringkat dasar,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, pekarangan Parlimen, di sini, hari ini.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan memohon proses undian belah bahagi diadakan ketika Timbalan Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee meminta persetujuan wakil rakyat untuk meluluskan kepala bekalan dan pembangunan B25/P25 KPDNKK.

Bagaimanapun, keputusan undi belah bahagi itu mencetuskan kekecohan dan kemarahan wakil rakyat pembangkang yang mendakwa Kiandee tidak berlaku adil dan wujud penipuan ketika proses pengundian dijalankan.

Keputusan undi belah bahagi itu menyaksikan seramai 52 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 51 tidak bersetuju dan dua lagi berkecuali.

Ketika itu proses undi belah bahagi itu juga, lebih daripada 80 Ahli Parlimen BN tidak hadir.

Irmohizam juga menegaskan, ahli Parlimen pembangkang juga menggunakan proses undian itu untuk memburukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia.

“Sesi perbahasan di Parlimen yang sedang berlangsung terutamanya sekali Bajet 2018 memperlihatkan bahawa sikap sebenar pihak pembangkang yang melakukan pelbagai provokasi.

“Tindakan terdesak pihak pembangkang sanggup menggunakan pelbagai kaedah semata-mata untuk memastikan agenda mereka dan usaha mereka memburukkan Kerajaan BN di mata rakyat,” tegasnya.

Ditanya tentang teguran Ketua Whip BN selaku Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang kehadiran ahli Parlimen BN pada proses pengundian itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa menghormatinya.

“Ahli-ahli Parlimen BN begitu komited dari pagi hingga ke malam kebanyakannya terlibat dengan perbahasan dan melakukan pelbagai perkara termasuk menyelesaikan isu-isu rakyat sewaktu mereka berada dalam sidang Parlimen.

“Ahli Parlimen BN bertambah kuat dan kami tetap setia hadir ke persidangan ini untuk memastikan imej BN terjaga khususnya waktu persidangan Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette