Home Politik PH tak ambil tindakan wakil rakyatnya ponteng

PH tak ambil tindakan wakil rakyatnya ponteng

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) hari ini mengambil pendekatan berbeza dengan Barisan Nasional (BN) berhubung undi belah bahagi dalam Rang Undang-undang Perbekalan 2018.

Gabungan itu berkata tidak akan mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimennya yang didapati tidak hadir dalam sesi undian terhadap rang undang-undang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Soal itu (tindakan terhadap ahli Parlimen ponteng) tidak timbul,” kata Ahli Parlimen Seremban, Anthony LokeĀ  dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.

Ditanya bagaimana harus PH tidak mengambil tindakan terhadap ahli parlimennya yang tidak hadir sehingga PH gagal untuk menolak rang undang-undang berkenaan jawabnya;

“Hari itu kita memang tidak ada menerima arahan untuk hadir secara khusus. Kita bersama-sama ahli parlimen PH yang lain buat serangan jadi kita lihat keadaan ketika itu sesuai untuk mengadakan undi belah bahagi.

“Tidak ada arahan dikeluarkan pada ketika itu,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula berkata ahli Parlimen yang tidak hadir mungkin ada tanggungjawab lain yang memerlukan perhatian mereka.

“Kita yakin bahawa ahli Parlimen kita yang tidak hadir atas sebab tertentu, mungkin hadir pada program lain.

“Bila tidak ada arahan, maka mereka lakukan perkara lain selain hadir dalam Dewan Rakyat, itu perkara yang kita boleh terima dan sepatutnya dewan jangan dilanjutkan sehingga lewat malam,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan akan diambil terhadap ahli parlimen yang ponteng ketika proses pengundian belah bahagi di peringkat KPDNKK hampir tidak diluluskan.

Beliau yang juga Ketua Wrip BN bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk hukuman yang akan diberikan kepada mereka. -MalaysiaGazette.